Tahun 2024 mematangkan kami – Thinaah, Pearly

Tahun 2024 mematangkan kami – Thinaah, Pearly

PEMAIN beregu wanita negara, Pearly Tan menyifatkan tahun ini sebagai tempoh yang penuh pengajaran yang mematangkan beliau dan pasangan beregunya M Thinaah.

Menurutnya, tahun ini mereka banyak belajar bagaimana mengendalikan tekanan, menangani cabaran dan berkomunikasi dengan lebih baik di gelanggang.

Sehubungan itu, menjelang Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di Hangzhou, China, Disember ini, Pearly berharap dapat memanfaatkan momentum positif itu terutamanya dalam aspek komunikasi agar lebih saling memahami meskipun dalam perlawanan yang sukar.

“Ia bukan tahun yang paling menggembirakan, tetapi saya fikir ia tahun di mana kami telah belajar begitu banyak dan berkembang dengan ketara sebagai pasangan beregu…kami boleh lakukan lebih baik, namun kami puas hati dengan hasilnya dan harap dapat capai lebih lagi tahun depan,” katanya selepas menghadiri majlis pembaharuan kerjasama selama tiga tahun antara AFFIN Group dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di sini pada Jumaat.

AFFIN diwakili Presiden dan CEO Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah manakala BAM diwakili Pemangku Presiden, Datuk V Subramaniam.

Senada dengan Pearly, Thinaah menyifatkan WTF 2024 sebagai kejohanan yang penting dan menekankan kepentingan untuk kekal tenang serta menikmati kejohanan yang menampilkan lapan beregu terbaik itu.

“Kami teruja dapat layak ke kejohanan ini, namun seperti biasa, fokus kami adalah untuk kekal tenang dan nikmati masa di sana. Komunikasi ialah sesuatu yang terus kami perbaiki, tetapi secara keseluruhannya, semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, beregu campuran Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei tekad untuk memberikan permainan mantap pada WTF 2024 sebagai kejohanan terakhir mereka tahun ini tanpa memandang rendah mana-mana lawan.

“Setiap pesaing kuat, hanya lapan beregu terbaik layak untuk acara berprestij ini. Jadi kami tidak bergantung pada undian (walaupun kami empat teratas).

“Kami sangat gembira dapat melakukannya sekali lagi tahun ini. Seperti yang selalu saya katakan, kami akan berjuang habis-habisan di gelanggang dan saya percaya kami boleh capai sesuatu yang hebat,” kata Ee Wei. – Bernama

Scroll to Top