Tahun ke-5 ibadah korban bersama asnaf

Tahun ke-5 ibadah korban bersama asnaf

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Harian Metro menerusi Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) sekali lagi berganding bahu dengan EZ Qurban Sdn Bhd untuk melaksanakan ibadah korban yang akan berlangsung di Kuala Nerus dan Pulau Redang, Terengganu pada 9 hingga 11 Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Ez Qurban Sdn Bhd, Ahmad Fadzlullah Hasanuddin berkata, 13 lembu akan disembelih di dua lokasi berkenaan dengan kerjasama Koperasi Warga Pendidikan Terengganu menjadi tuan rumah.

“13 lembu disembelih pada program itu disasar untuk diagihkan kepada golongan asnaf, keluarga miskin dan mereka yang memerlukan di sekitar daerah berkenaan.

“Menerusi program ini juga, kami bersama-sama Harian Metro bukan sahaja dapat menyantuni masyarakat setempat, malah boleh memupuk minat mereka untuk melaksanakan ibadah korban,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi program Titipan Kasih Korban 2025 Harian Metro bersama EZ Qurban di Balai Berita NSTP, Bangsar di sini.

Turut hadir, Pengerusi Projek TKHM, Husain Jahit; Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhammad Safar Ahmad; Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek dan Pengarang Berita Kanan Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Abd Aziz.

Selain Ahmad Fadzlullah, EZ Qurban diwakili Pengasas EZ Qurban dan Yayasan EZ Prihatin, Azhar Ab Shukur dan Ketua Pegawai Operasi EZ Qurban, Hafesz Firdaus Toharudin.

Ahmad Fadzlullah berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan kerjasama berterusan selama lima tahun dengan Harian Metro dalam program itu.

Pada tahun ini, Ez Qurban turut menyasarkan 10,000 ekor haiwan korban untuk lokal dan luar negara.

“Kami berharap usaha ini dapat diteruskan secara konsisten dan diperluaskan ke lebih banyak lokasi supaya lebih ramai masyarakat sama ada di dalam mahupun luar negara dapat merasai manfaatnya.

“Ibadah korban dilaksanakan oleh rakyat Malaysia bukan sahaja dapat memberi kesan di dalam negara, malah nikmatnya turut dikongsi bersama saudara kita di negara luar yang lebih memerlukan,” katanya.

Sempena ulang tahun EZ Qurban ke-18, beliau memaklumkan pihaknya membuat tawaran istimewa iaitu RM1.80 untuk satu bahagian lembu.

“Sebanyak 100 ekor lembu tersedia untuk tawaran istimewa ini. Tawaran ini diberikan secara rawak kepada pelanggan yang membuat pembelian di laman web kami,” katanya.

Sementara itu, Hussain berkata, kerjasama kali ini menandakan genap lima tahun jalinan strategik antara Harian Metro dan EZ Qurban dalam mengimarahkan pelaksanaan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Sepanjang tempoh ini, kami sudah menjelajah banyak kawasan di Semenanjung Malaysia dengan fokus utama kepada pengagihan daging korban kepada golongan asnaf, fakir miskin, mualaf dan komuniti memerlukan.

“Antara kawasan yang pernah kami jelajahi adalah Sungai Udang, Melaka; Hulu Bernam dan Jeram, Selangor dan Bentong, Pahang.

“Diharap kerjasama ini akan diteruskan pada masa akan datang yang bukan sahaja dilaksanakan di dalam negara tetapi juga diadakan di luar negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top