TAIPEI: Taiwan memerhati dengan teliti perkembangan di selat sempit yang memisahkannya dari China dan meningkatkan kesiapsiagaan susulan kemungkinan Russia menyerang Ukraine.
China, yang mendakwa Taiwan sebagai wilayahnya sendiri, meningkatkan kegiatan ketenteraan di wilayah berhampiran sejak dua tahun lalu.
Namun, Taiwan melaporkan tiada gerakan luar biasa oleh tentera China sejak beberapa hari lalu, apabila ketegangan Russia-Ukraine semakin meningkat.
Ketika Barat memberi amaran perang di Ukraine boleh tercetus pada bila-bila masa, pejabat presiden Taiwan menjelaskan, tenteranya terus memperkukuh operasi pengawasan.
Ia menegaskan, keamanan dan kestabilan serantau adalah ‘tanggungjawab bersama semua pihak’.
“Semua unit tentera terus memberi perhatian kepada keadaan di Ukraine dan pergerakan di Selat Taiwan, mengukuhkan perisikan dan pengawasan bersama.
“Kita juga beransur-ansur meningkatkan tahap kesediaan tempur sebagai tindak balas kepada potensi pelbagai tanda dan ancaman,” katanya.
Sebelum ini, Taiwan kerap melaporkan tentera udara China mencerobohi zon pertahanan udaranya, sebahagian daripada apa yang Taipei katakan sebagai corak gangguan oleh Beijing.
Taiwan bulan lalu melaporkan pencerobohan terbesar sejak Oktober oleh tentera udara China, dengan Kementerian Pertahanan pulau itu berkata, jet pejuang Taiwan digerakkan untuk memberi amaran kepada 39 pesawat.
Bagaimanapun, pejabat presiden menambah bahawa keadaan di Selat Taiwan adalah berbeza daripada Ukraine dan menggesa orang ramai supaya tidak terpedaya dengan maklumat palsu.
Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen, bulan lalu menubuhkan kumpulan kerja Ukraine di bawah Majlis Keselamatan Negara untuk melihat perkembangan dan kemungkinan kesan kemelut di Eropah itu terhadap keselamatan Taiwan.
Beliau juga bersimpati dengan Ukraine dan tahu apa perasaan negara itu, sama seperti negaranya yang berdepan ancaman tentera China. – REUTERS
© New Straits Times Press (M) Bhd




