Taiwan mula pengeluaran peluru berpandu jarak jauh besar-besaran

Taiwan mula pengeluaran peluru berpandu jarak jauh besar-besaran
Presiden Tsai Ing-wen telah menekankan betapa pentingnya pembangunan sistem pencegahan “asimetrikal”, menggunakan peralatan mudah alih yang sukar ditemui dan dihancurkan, serta mampu mencapai sasaran jauh. (Gambar AP)

TAIPEI: Taiwan telah memulakan pengeluaran besar-besaran peluru berpandu jarak jauh dan sedang membangunkan tiga model lain, kata seorang pegawai kanan hari ini, dalam usaha mengembangkan kemampuan serangan balas ketika tekanan China ke atas negara itu semakin meningkat.

China, yang mendakwa Taiwan sebagai wilayahnya, telah meningkatkan kegiatan ketenteraan berhampiran pulau itu, dalam usaha memaksa kerajaan Taipei untuk menerima tuntutan kedaulatan Beijing.

Angkatan bersenjata Taiwan, yang disifatkan kerdil oleh China, sedang dalam program pemodenan untuk membangunkan sistem pertahanan yang lebih berkesan, termasuk kemampuan untuk menyerang balas pangkalan di China sekiranya berlaku konflik.

Ketika menjawab pertanyaan ahli parlimen, Menteri Pertahanan Taiwan Chiu Kuo-cheng berkata memperluaskan kemampuan serangan jarak jauh adalah keutamaan negara ketika ini.

“Kami berharap ia mencapai kapasiti jarak jauh, tepat dan mudah alih,” katanya, sambil menambah kerja penyelidikan mengenai senjata tersebut oleh Institut Sains dan Teknologi Nasional Chung-Shan milik negara “tidak pernah berhenti”.

Timbalan pengarah institut tersebut, Leng Chin-hsu berkata, jenis peluru berpandu jarak jauh dan berpangkalan di darat telah memulakan pengeluaran, dengan tiga peluru berpandu jarak jauh lain sedang dibangunkan.

Leng berkata buat masa ini “tidak sesuai” baginya memberikan perincian sejauh mana peluru berpandu tersebut terbang.

Sejak beberapa bulan lalu, institut yang mempimpin usaha pembangunan senjata Taiwan itu telah melakukan beberapa siri ujian peluru berpandu di pesisir tenggara negara tersebut.

Media Taiwan penah menyiarkan gambar peluru berpandu terbabit dan arahan telah dikeluarkan kepada pesawat komersil untuk menjauhkan diri dari tapak ujian terbabit, namun sehingga kini ujian tersebut terus dirahsiakan.

Sejak sekian lama, angkatan bersenjata Taiwan sentiasa bersiap sedia dan menumpukan usaha mempertahankan pulau itu dari serangan China.

Tetapi Presiden Tsai Ing-wen telah menekankan betapa pentingnya pembangunan sistem pencegahan “asimetrikal”, menggunakan peralatan mudah alih yang sukar ditemui dan dihancurkan, serta mampu mencapai sasaran jauh dari pantai Taiwan.

Washington, pembekal senjata asing utama di Taipei, dilihat bersungguh-sungguh untuk mewujudkan keseimbangan ketenteraan menentang China, berdasarkan usaha yang dikenali di Pentagon sebagai “Fortress Taiwan”.

Scroll to Top