TAIPEI: Pihak berkuasa Taiwan sedang menyiasat sama ada seorang lelaki dari tanah besar China berjaya menyeberangi Selat Taiwan menggunakan bot getah bagi mendapatkan perlindungan politik.
Sabtu lalu, polis berkata seorang lelaki bernama Zhou ditahan di pelabuhan bandar Taichung selepas penduduk tempatan melihatnya berkelakuan mencurigakan.
Polis berkata lelaki itu memberitahu mereka bahawa dia melakukan perjalanan dari Fujian di pantai tenggara China menaiki bot getah yang dilengkapi dengan enjin bermotor dan 90 liter bahan bakar.
Lelaki itu mendakwa dia ingin pindah ke Taiwan untuk mencari ‘kebebasan dan demokrasi’.
Menteri Pertahanan, Chiu Kuo-cheng, berkata pihaknya sedang menyiasat bagaimana Selat Taiwan yang dikawal ketat itu boleh dibolosi lelaki berkenaan hanya menggunakan bot getah.
“Kami akan menghubungi pengawal pantai bagi menjelaskan keadaan ini dan menyelaras usaha memperkukuhkan kawalan,” katanya.
Selat Taiwan adalah antara laluan laut yang paling ketat dikawal di dunia terutama kerana pergeseran antara negara itu dan China.
Selama bertahun-tahun, beberapa pelarian China secara diam-diam diberikan izin untuk tinggal di Taiwan, malah negara itu juga mengalu-alukan penduduk Hong Kong yang melarikan diri berikutan tindakan keras Beijing. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




