redzuan.muharam@hmetro.com.my
Shah Alam: Lain orang, lain cara menunjukkan kasih sayang kepada sahabat begitu juga dengan Tajaie Azmi yang ada tabiat menyuap rakannya makan sebagai tanda mengeratkan hubungan sesama mereka.
Gelagat Tajaie, 21, menyuap makanan ke mulut rakan dapat dilihat menerusi perkongsiannya di TikTok yang mencuri perhatian warganet kerana suka melihat keakraban dua sahabat itu.
Berkongsi kisah itu, Tajaie yang juga penuntut semester tiga Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dekat sini berkata, video berkenaan dirakam untuk suka-suka saja dan tidak menyangka akan mendapat perhatian warganet hingga meraih lebih 850,000 tontonan.
“Dalam video itu, saya menyuap rakan (Muhammad Aiman Syafiq Mohd Zaki, 20), yang pernah menjadi teman sebilik saya ketika semester pertama di kampus.
“Dia orang pertama saya kenal waktu masuk ke bilik asrama dulu dan sebenarnya saya sudah biasa suap dia makan cuma sebelum ini tak rakam.
“Kebetulan tempoh hari dia datang dan saya suap dia makan cuma tak sangka selepas muat naik video boleh cecah sampai lebih 30,000 tontonan sehari,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Tajaie, bukan sahaja Muhammad Aiman sebaliknya terdapat beberapa rakan lain yang rapat turut disuap.
“Saya tinggal di asrama dan memang minat memasak. Saya sering mempelawa rakan makan bersama selepas menyediakan masakan
“Daripada situlah, saya mula suap rakan makan dan mulanya dengan teman sebilik. Mereka pun selesa dan ikutkan, saya tak begitu (suap makan) dengan keluarga sebaliknya ayah, emak atau kakak yang suap. Tapi buat (suap makan) dengan kawan dan puas tengok mereka kenyang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Tajaie berkata, dia ada membaca komen netizen dan rata-ratanya positif.
“Tak nampak pula yang negatif dan bagi saya, tak ada masalahnya suap kawan makan.
“Kalau kedua-dua pihak okay, buat saja, tak payah hiraukan persepsi orang kerana bukan datangkan keburukan tapi mengeratkan lagi hubungan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




