norhayati_nordin@hmetro.com.my
Pengacara dan pelakon, Toh Puan Syamim Freida, 33, mengakui dia tidak ada pantang larang tertentu untuk melakukan apa saja cabaran dalam program ‘podcast’, Tiga Is3 dijayakan walaupun berstatus isteri kerabat diraja.
Syamim Freida atau nama sebenarnya, Syamim Mohd Farid adalah isteri kerabat diraja Selangor, Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari Al-Haj. Mereka melangsungkan pernikahan pada 2016 dan belum dikurniakan cahaya mata.
“Saya sama saja macam orang lain. Kita buat saja juga ‘challenge’ (cabaran) tugasan yang diberi macam biasa, sama. Tak ada pantang larang sangat.
“Selain itu, saya pun akan berkongsi kisah kehidupan saya juga (sebagai isteri kerabat), tak adalah tapis sangat pun sebab kita nak dekat dengan penonton.
“Jadi, saya akan kongsi sepenuhnya perkara yang berlaku dalam kehidupan saya. Sebab itu, nak kata ada pantang larang, memang tak ada. Sama saja,” katanya.
Syamim Freida berkata, selagi dia menjaga batas dan apa yang dilakukannya tidak keterlaluan, tiada sebarang halangan atau pantang larang dikenakan.
“Saya pun ada cabaran yang kena pergi pasar, saya pergi juga. Okey saja di sana (pasar) sebab tujuan kita pun untuk ‘fun’ (seronok) saja.
“Lagipun, saya rasa orang di luar sana tak akan dapat melihat personaliti diri saya melalui Instagram saja, jadi melalui program ‘podcast’ Tiga Is3 ini orang dapat lihat diri saya.
“Cara saya buat cabaran tugasan diberikan itu, betapa bebelnya mulut saya. Dari situ, orang akan tahu banyak cakap rupanya dia ini. Kalau di Instagram, kita tak boleh nampak yang sebenar,” katanya.
Difahamkan, antara cabaran pengacara dalam ‘podcast’ Tiga Is3 itu ialah pergi ke pasar, menyanyi di tengah orang ramai di Bukit Bintang, cuci motosikal dan menjual tisu.
Baru-baru ini, Syamim Freida juga mengumumkan dia tidak lagi menggunakan nama komersial, Syamim Farid selepas 10 tahun membina nama dan ketengahkan bakat dalam karier seni sejak 2014.
Tiga Is3 menggabungkan Syamim Freida bersama Uyaina Arshad dan Adriana Adnan sebagai pengacara diterbitkan oleh FYP Media dan mula disiarkan pada 22 September lalu, setiap Ahad, jam 5 petang.
Ia sebuah program yang akan berkongsi pelbagai topik bual bicara menarik meliputi kisah rumah tangga dan kehidupan harian wanita dalam mendepani situasi semasa yang mencabar ketika ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




