'Tak ada siapa nak tolong bayar ikat jamin' – 2 orang upahan along kes bakar rumah, kereta

'Tak ada siapa nak tolong bayar ikat jamin' – 2 orang upahan along kes bakar rumah, kereta

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: “Kami tak ada duit…tak ada orang nak tolong bayarkan ikat jamin,” kata orang upahan peminjam wang haram atau along ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan membakar rumah kenderaan milik dua wanita.

Tertuduh, Adrian Arvin Tanabalan, 26, dan Kaarthivhi Suresh, 27, masing-masing berhadapan dua pertuduhan, mengaku tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh yang juga penganggur didakwa bersama-sama dengan sengaja melakukan khianat, membakar rumah milik wanita berusia 61 tahun.

Perbuatan dilakukan di Taman Ros, Parit Haji Sidek di sini pada jam 4.30 pagi, 22 November tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka bersama-sama menggunakan bahan api dengan membakar kereta milik wanita berusia 54 tahun di Taman Batu Pahat, di sini, 3.15 pagi, 5 Januari lalu.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama iaitu penjara sehingga 14 tahun serta denda bagi setiap pertuduhan dikenakan.

Menurut laporan, kedua-dua tertuduh aktif melakukan khianat dengan api yang dijalankan secara ‘road show’ di beberapa daerah antaranya Muar, Johor Bahru, Seri Alam, Iskandar Puteri.

Kedua-dua tertuduh mensasarkan rumah individu yang didakwa gagal membayar pinjaman dengan along.

Bagaimanapun, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes negeri ini selepas menahan tertuduh pada 14 Januari lalu.

Tangkapan ke atas tertuduh membolehkan polis merampas botol kaca berisi petrol, topeng muka serta berapa lagi peralatan yang digunakan ketika membaling ke arah rumah yang disasarkan.

Selain itu, tertuduh juga mengakui mereka dibayar upah antara 300 dolar Singapura bagi kereta dibakar manakala 400 dolar Singapura untuk rumah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 seorang dengan penjamin warga tempatan dan menetapkan 9 April ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

Pada 13 Februari lalu, kedua-dua tertuduh juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar kerana didakwa membaling bom petrol ke atas rumah wanita berusia 69 tahun serta kereta dan motosikal milik lelaki berusia 39 tahun.

Sebelum itu, tertuduh juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru namun membuat pengakuan sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top