Menteri Pendidikan Tinggi, Dr. Zambrzy Abd Kadir menafikan dakwaan bahawa kerajaan bersetuju memberi ‘Graduate Pass’ kepada 10,000 pelajar Bangladesh untuk bekerja di Malaysia, menegaskan tuduhan itu tidak benar dan tidak tepat sama sekali.
Beliau berkata, dakwaan itu timbul susulan ucapan YB Dr. Haim Hilman bin Abdullah, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi & Inovasi, yang dikongsikan di platform media sosial beliau.
“Berdasarkan laporan surat khabar, beliau telah membuat tuduhan bahawa saya telah bersetuju memberi ‘Graduate Pass’ kepada 10,000 pelajar Bangladesh di Malaysia untuk membolehkan mereka bekerja di sini.
“Tuduhan tersebut adalah tidak benar dan tidak tepat sama sekali,” jelas Dr. Zambrzy.
Zambry nafi meterai MoU beri peluang 10,000 pelajar asing kerja di Malaysia
Tambah beliau, semasa lawatan TYT Prof. Dr. Muhammad Yunus baru-baru ini, tidak terdapat sebarang Memorandum Persefahaman (MoU) atau perjanjian yang mengikat Malaysia untuk menerima jumlah pelajar seperti didakwa.
“Dakwaan bahawa wujud perjanjian sedemikian adalah tidak berasas.
“Kenyataan beliau yang mendakwa kononnya rakyat resah kerana Malaysia telah bersetuju dengan perkara ini adalah sangat tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.
Artikel lain: Dakwaan lambakan pelajar China tak benar, KPT sentiasa utamakan kuota anak tempatan di IPTA
Beliau turut menekankan bahawa sebagai seorang berlatarkan akademik, kenyataan harus dibuat berdasarkan fakta yang benar, tepat, dan sahih, bukannya spekulasi atau menyebarkan maklumat semberono.
“Saya ingin menegaskan agar YB Dr. Haim Hilman tidak sewenang-wenangnya mencipta persepsi dengan menyampaikan maklumat yang tidak tepat serta mengelirukan rakyat.
“Budaya menghasilkan ‘content’ untuk diviralkan di media sosial dengan fakta yang salah perlu segera dihentikan,”ujar beliau.