harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: “Tak berbaloi, seronok sekejap saja. Saya dipenjara, jauh dengan keluarga, duit yang dapat itu pun lesap.”
Itu kata prospek bekas banduan, Michael yang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan penipuan komersial tahun lalu dan dibebaskan menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani 2025 di Penjara Kajang, hari ini.
Lelaki berusia 36 tahun itu menyifatkan tindakannya atas dasar tamak dan mengikut nafsu akhirnya hanya memakan diri sendiri.
“Syukur dapat keluar awal, saya serik, kerana tamak 11 bulan saya ‘ke dalam’, tidak berbaloi langsung. Nasihat saya, kalau ada yang mahu buat jenayah, kerana nak duit cepat, janganlah tak berbaloi.
“Dapat duit sementara sahaja, kehidupan dalam penjara tak senang. Jangan sebab nak enjoy satu hari, masuk penjara berbulan atau bertahun,” katanya ketika ditemui di Penjara Kajang, hari ini.
Bercerita mengenai pengalamannya selama 11 bulan meringkuk di penjara, Michael yang pertama kali ditahan berkata, kehidupan di sebalik tirai besi amat sukar buat dirinya namun rakan senasib banyak membantu.
Katanya, pada peringkat awal dia berasa gentar tetapi kehadiran rakan dan pegawai penjara yang profesional banyak membantu dirinya menjadi insan lebih baik.
Michael berkata, ketika di penjara banyak perkara yang dapat dipelajari namun ilmu paling berguna baginya adalah cara mengawal diri.
“Selepas ini saya mahu balik rumah, rehat dulu kemudian fikirkan apa rancangan seterusnya, saya mahu cari kerja, saya harap ada majikan yang mahukan saya.
“Saya akan berterus terang sejarah saya tetapi saya juga ada rekod kerja dalam industri korporat yang baik, sebelum ini saya cemerlang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd