surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak mendakwa sekurang-kurangnya tujuh surat dihantar kepada individu dan institusi bagi mengesahkan kewujudan Titah Adendum supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani baki tahanan dalam rumah.
Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima daripada pihak terbabit.
Pihak terbabit ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia.
Beliau berkata, surat itu turut dihantar kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, malah sehingga kini tiada balasan bagi mengakui penerimaannya.
“Sekurang-kurangnya tujuh surat yang dikemukakan kepada individu atau institusi bagi memohon pengesahan Titah Adendum, tidak dijawab langsung atau dimaklumkan bahawa surat itu diterima.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab terhadap dokumen tambahan itu harus menjawab surat berkenaan, namun mereka berdiam diri kerana dokumen itu memang wujud.
“Katalah ia tidak wujud, bukankah menjadi tanggungjawab mereka untuk menjawab surat kami dan mengatakan bahawa dokumen tambahan ini tidak ada, apa salahnya jika mereka memberitahu kami begitu, mungkin kami akan berhenti setakat itu,” katanya dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.
Muhammad Shafee berkata, prosiding komital (menghina mahkamah) terhadap Ahmad Terrirudin dikemukakan kerana beliau tidak memberikan arahan yang betul kepada pegawainya berhubung kewujudan Titah Adendum.
“Semasa prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, Ahmad Terrirudin gagal memberikan arahan yang betul kepada pegawainya iaitu Peguam Kanan Persekutuan dan mereka tidak pernah menafikan kewujudan titah itu sebaliknya menutup perkara itu dengan menyatakan kewujudannya tidak dapat dipastikan,” katanya.
Katanya, semakan kehakiman bukan satu prosiding biasa kerana ia ditujukan kepada pegawai atau badan kerajaan.
“Individu atau badan kerajaan yang dinamakan dalam semakan kehakiman, sepatutnya menjelaskan secara jujur maklumat berkaitan dokumen yang disimpannya.
“Mereka tidak boleh bermain ‘hide and seek’ dan tidak boleh katakan ‘cuba teka sama ada ia wujud atau tidak’, sebaliknya mereka wajib menjelaskan maklumat dan dokumen itu,” katanya.
Pada 21 Mei lalu, bekas Perdana Menteri itu memfailkan prosiding menghina mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin supaya beliau dipenjarakan kerana menghina mahkamah berkaitan Titah Adendum.
Permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap hakim Mahkamah Persekutuan itu difailkan melalui Tetuan Shafee & Co.
Firma guaman itu melalui kenyataan minggu lalu berkata, Januari lalu, pihaknya memaklumkan mendapat arahan Najib untuk memfailkan permohonan penghinaan mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin.
Firma berkenaan melalui surat bertarikh 20 Januari lalu menggesa bekas Peguam Negara memberikan sebab mengapa beliau tidak patut dikenakan tindakan penghinaan mahkamah berhubung Titah Adendum.
© New Straits Times Press (M) Bhd




