am@hmetro.com.my
Ipoh: Mana-mana pihak dan agensi yang berhasrat mahu mewujudkan pondok polis di sesebuah penempatan diingatkan agar merujuk perkara itu terlebih dulu kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, rujukan kepada polis penting memandangkan pertimbangan perlu dibuat oleh kepimpinan PDRM khususnya dari sudut perjawatan untuk ditempatkan di pondok polis terbabit dengan tidak semata-mata bergantung kepada bangunan atau fasiliti yang dibangunkan.
“Kita kena tengok juga apabila diwujudkan pondok polis oleh mana-mana pihak, dia harus merujuk kepada PDRM untuk memohon perjawatan. Ia tidak boleh wujud sendiri dengan fizikal bangunan pondok polis itu saja dan memohon polis datang ke situ.
“Ia ada prosedur tertentu yang membabitkan perjawatan, serta perlu diangkat untuk digazetkan dan perlu melihat dari segi bebanan tugas dan tanggungjawab membanteras jenayah yang ada di situ,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak September 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.
Azizi berkata demikian ketika ditanya mengenai status fasiliti pondok polis di Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong, Kampung Bawong di Sungai Siput yang sehingga kini masih belum beroperasi biarpun ia difahamkan pembinaannya sudah siap sejak lebih setahun lalu.
Mengulas lanjut, Azizi berkata, pembinaan pondok polis di OAOSC Bawong itu dikendalikan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) namun setakat ini pihaknya melihat belum ada keperluan untuk pembinaannya bagi populasi di situ dan sebaliknya, penduduk setempat masih boleh berurusan dengan PDRM di balai polis terdekat.
“Namun begitu saya akan melihat perkara ini secara lebih terperinci dengan pihak Jakoa serta masyarakat setempat dan akan berbincang mengenai status dan keperluan pondok berkenaan.
“Ia (pondok polis) sudah siap dibina setahun barangkali tetapi kita belum terima ia sebagai aset kita. Apabila sudah menjadi aset kita nanti kena lihat balik bagaimanakah pondok itu diwujudkan.
“Nanti kalau semua taman (perumahan) wujudkan pondok polis kemudian suruh polis duduk (ditempatkan) di situ barangkali polis pun tak sempat nak buat. Jadi kita kena lihat semua sudut perkara ini,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan penduduk Kampung Bersah dekat perkampungan Orang Asli Pos Kuala Mu, Sungai Siput mengharapkan balai polis atau pondok polis dibina berhampiran penempatan itu bagi memudahkan urusan terutamanya pelaporan jika berlaku sesuatu insiden seperti jenayah.
Ia berikutan ketika ini balai polis terdekat adalah dalam jarak kira-kira 60 kilometer (km) sehala atau 120 km ulang-alik iaitu di Balai Polis Simpang Jalong .
© New Straits Times Press (M) Bhd