am@hmetro.com.my
Seremban: Perlembagaan BERSATU tidak memperuntukkan sebarang kuasa kepada mana-mana ahli termasuk ketua bahagian untuk membubarkan mana-mana bahagian parti berkenaan.
Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata, perkara asas berkaitan peruntukan dalam perlembagaan parti itu sepatutnya difahami oleh setiap pimpinan dan ahli.
“Perlembagaan parti jelas tidak memperuntukkan kuasa kepada mana-mana ahli termasuk ketua bahagian untuk membubarkan mana-mana bahagian.
“Perkara asas ini sepatutnya sudah difahami setiap ahli,” katanya dalam satu kenyataan tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, jika semua ahli jawatankuasa (AJK) bahagian berhenti serentak, bahagian terbabit tidak terbubar secara automatik atau boleh dibubarkan oleh ketua bahagian kerana perkara itu disebut dalam perlembagaan parti.
Menurutnya, sekiranya berlaku kekosongan kepimpinan yang membabitkan majoriti jawatankuasa bahagian, maka Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) mempunyai kuasa untuk mengarahkan Badan Pimpinan Negeri (BPN) mengambil alih pentadbiran sementara sebelum persidangan khas diadakan bagi melantik kepimpinan bahagian baharu.
“Fasal 18.11, menjelaskan MPT akan mengadakan persidangan khas bahagian untuk menubuhkan semula jawatankuasa bahagian itu dan menentukan tempoh perkhidmatannya.
“Fasal 14.16 pula menegaskan MPT boleh mengambil sebarang langkah selain dari perkara yang tersebut di atas (tugas dan kuasa MPT) bagi kesempurnaan perjalanan parti,” katanya.
Tun Faisal yang juga ahli MPT berkata, terdapat kekeliruan susulan beberapa pautan di media sosial dan kenyataan media oleh beberapa bekas pemimpin BERSATU yang mendakwa kononnya sesuatu bahagian telah terbubar selepas peletakan jawatan beberapa ahli jawatankuasa.
Menurutnya, mereka membuat tafsiran yang salah terhadap peruntukan sedia ada dalam parti.
“Malahan terdapat seorang pemimpin kanan didakwa tidak memahami kandungan perlembagaan parti sehingga beranggapan keputusan Lembaga Disiplin boleh dipulangkan semula, diatasi dan diubah sedangkan dalam perlembagaan parti jelas menyebut mengenai kuasa-kuasa Lembaga Disiplin dan keputusan lembaga itu muktamad,” katanya.
Tun Faisal menegaskan bahawa semua pihak perlu merujuk dan memahami perlembagaan parti dengan tepat bagi mengelakkan kekeliruan serta tindakan yang bercanggah dengan peruntukan yang telah ditetapkan.
Terdahulu, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut menegaskan bahawa perlembagaan parti itu tidak memperuntukkan kuasa kepada mana-mana ahli termasuk ketua bahagian untuk membubarkan mana-mana bahagian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




