Tak culas bayar balik pinjaman

Tak culas bayar balik pinjaman

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sedar akan kepentingan pendidikan untuk generasi akan datang, pelakon popular, Puteri Sarah Liyana, 39, tidak culas membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan segera tanpa sebarang tunggakan.

Puteri Sarah yang mengikuti pengajian peringkat diploma dalam jurusan Pengurusan Hotel di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ketika itu segera membuat pembayaran sebanyak RM15,000 sebaik memulakan pekerjaan.

“Sebaik tamat pengajian dan mula bekerja, saya mula membuat pembayaran. Kini, semuanya sudah selesai dan saya juga bersyukur kerana tiada sebarang tunggakan.

“Pinjaman atau hutang wajib dibayar. Ia adalah tanggungjawab kita. Ia juga adil untuk semua peminjam dan sekiranya kita tidak membuat pembayaran, ia akan memberi kesan kepada pelajar generasi akan datang. Lebih-lebih lagi untuk pelajar kurang berkemampuan untuk menyambung pengajian,” katanya.

Pada masa sama, Puteri Sarah turut berterima kasih kepada PTPTN kerana banyak membantu pelajar yang mahu menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi tapi tidak berkemampuan.

“Dengan adanya PTPTN, ia diharap dapat meringankan beban pelajar dan keluarga mereka,” katanya.

Puteri Sarah berkata, pelajar yang memperoleh pinjaman PTPTN seharusnya bijak menggunakannya dan tidak membazir kepada perkara yang tidak perlu.

“Ada segelintir yang menyalahgunakan pinjaman PTPTN dengan membeli telefon, motosikal dan makanan di restoran mahal.

“Pinjaman PTPTN ini untuk pelajar gunakan dengan sebaik mungkin untuk pengajian mereka. Kalau boleh, tolong buat pembayaran pinjaman seperti ditetapkan selepas selesai pengajian. Sekarang mudah nak buat rundingan dan bayar ikut kemampuan. Saya lihat pelbagai saluran PTPTN sediakan.

“Jadi jangan sebab kita buat tak tahu dan tiada tanggungjawab, pelajar lain tidak dapat bantuan pula,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top