Pelakonpelakon Bront Palarae mengambil keputusan berbeza dengan meninggalkan kemeriahan Syawal di Malaysia demi menimba ilmu di peringkat lebih tinggi di luar negara.
Sambung pengajian di Amerika Syarikat

Memetik laporan Berita Harian, Bront, atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 48, mendedahkan dia berangkat ke Boston, Amerika Syarikat (AS) bersama keluarga untuk menyambung pengajian Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan Eksekutif (EMBA) di Asia School of Business.
Menjawab kebimbangan terhadap konflik yang semakin memuncak di Asia Barat, Bront mengakui ada rasa gusar, namun dia menyerahkan segalanya kepada takdir.
“Doakan perjalanan kami sekeluarga dalam keadaan tenang dan selamat. Sudah pasti ada kerisauan melihat apa yang berlaku, tetapi soal ajal dan maut saya serahkan kepada Allah,” katanya di TGV Sunway Pyramid, semalam.
Bront turut berkongsi bahawa sepanjang berada di AS, dia akan menjalani fasa ‘immersion’ atau latihan intensif, yang merupakan sebahagian daripada modul pengajian.
“Ini adalah fasa ‘immersion’ dan sudah di penghujung. Harapnya selepas pulang nanti, masih berbaki seminggu sebelum saya boleh menamatkan pengajian dan bergraduasi, insya-Allah,” kongsinya
Bront juga berkongsi mengenai pengalaman peribadi semasa Aidilfitri.

“Hari ini (semalam) saya akan berangkat ke AS untuk menyambung pelajaran. Sebenarnya, saya sudah mula sejak Januari lalu. Maka tahun ini saya mungkin akan menyambut Aidilfitri sama ada di dalam pesawat atau di AS.
“Memang saya tidak beraya di Malaysia dan tidak dapat bersama keluarga di sini. Mohon doakan yang terbaik,” tambahnya lagi.
Selain itu, Bront turut meluahkan keterujaan terhadap filem terbaharunya, Kong Tao, yang mula ditayangkan di pawagam hari ini.
Dia berkata, dia tidak sabar menanti maklum balas penonton terhadap naskhah itu, yang menampilkan barisan pelakon dari pelbagai negara.
Atikel lain: Kunyah gula-gula getah, Bront Palarae mohon maaf akui gementar di pertunjukan fesyen
Selain Malaysia, filem arahan bersama Peiji Goh dan Yong Choon Lin itu dijadualkan ditayangkan di Singapura, Thailand, Hong Kong, Taiwan, Myanmar, dan Vietnam.
Antara pelakon lain termasuk aktres Thailand, Kao Supassara Thanachat, pelakon Hong Kong, Philip Keung,pelakon Singapura, Glenn Yong dan Mayiduo, serta pelakon tempatan, Yumi Wong dan Eric La.
Sumber: Berita Harian (Affan Rostam)



