asmaini@mediaprima.com.my
Shah Alam: Sebaik sahaja anak keduanya, Nourhan Fareel, 6, didiagnos mengalami Gangguan Spektrum Autisme (ASD), tiga tahun lalu, Nadiah Jamaluddin, tidak berdiam diri dan mula mencari maklumat berkaitan pusat intervensi awal.
Suri rumah itu tidak hanyut dalam fasa penafian berikutan sedar masa adalah emas bagi kanak-kanak ASD dan tempoh enam tahun pertama perlu digunakan sebaik-baiknya untuk intervensi awal.
Nadiah berkata, dia menyedari Nourhan mengalami masalah perkembangan ketika berusia setahun enam bulan berikutan masih tidak dapat bertutur walau sepatah perkataan.
Dia dan suami, Farhan Yazeed, 38, memantau perkembangan Nourhan berikutan simptomnya semakin jelas pada usia dua tahun.
“Ketika itu, Nourhan gagal memberi tindak balas mata selain tidak menjawab apabila dipanggil.
“Selepas melakukan pemeriksaan rutin di Klinik Kesihatan, Nourhan terus dirujuk ke Hospital Shah Alam untuk pemeriksaan lanjut berikutan keputusan pemeriksaan mata serta telinganya normal.
“Dia di bawah pemerhatian doktor hampir setahun sebelum disahkan mengalami ASD sederhana dan Speech Delay (lambat bertutur).
“Berita itu sudah dijangka dan kami berdua menerimanya dengan hati terbuka kerana ia bukanlah pengakhiran hidup untuk Nourhan,” katanya.
Menurut Nadiah, usahanya mencari pusat intervensi awal yang sesuai dan berpatutan bukan mudah disebabkan lokasi tempat tinggal mereka agak jauh dari bandar utama iaitu di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor.
“Usaha untuk mencari pusat intervensi berakhir apabila Nourhan diterima masuk ke Program Pusat Anak Istimewa Selangor (Anis) tahun lalu.
“Intervensi perlu dilakukan seawal mungkin berikutan kanak-kanak istimewa ini mudah diajar pada usia muda,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd