firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Mentaliti kejuaraan dan kurang dipalit isu luar padang adalah resepi kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak lebih sedekad lalu.
Kejayaan menjulang trofi Sultan Haji Ahmad Shah dengan menewaskan Selangor FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim adalah bukti formula berkenaan benar-benar berkesan.
Menerusi perkongsian pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman sosialnya, kejayaan memenangi Piala Sumbangsih itu adalah trofi ke-31 sejak 2013 lalu.
“Tak heboh & tiada temu ramah berlebihan, cuma menang,” tulis Tunku Ismail di laman Instagramnya.
Daripada 31 trofi yang dimenangi skuad Harimau Selatan itu, 11 gelaran adalah Liga Super diikuti Piala Sumbangsih sebanyak 10 kali.
Piala Malaysia pula menyaksikan JDT A menjulangnya lima kali manakala Piala FA empat kali serta Piala AFC sekali.
Dalam aksi sumbangsih yang juga perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia 2025/2026 itu, tiga gol JDT diraih menerusi Jairo seawal minit kedua disusuli tandukan Eddy Israfilov minit 64 dan Arif Aiman Hanapi minit 73.
Selepas ini, skuad kendalian Xisco Munoz akan meneruskan misi mempertahan kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut dengan menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ibrahim, Selasa ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd