Tak jadi pinjam along tetap diancam bayar bunga, rumah keluarga hampir terbakar

Tak jadi pinjam along tetap diancam bayar bunga, rumah keluarga hampir terbakar

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: “Saya terkilan apabila mendapati kesan kebakaran di halaman rumah berpunca daripada perbuatan seorang lelaki melemparkan sesuatu objek ke arah rumah dan ia jelas kelihatan dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” kata seorang lelaki, Hoo Chong Kang.

Hoo, 58, berkata, dia menyedari kejadian itu pada 4.18 pagi kelmarin apabila terdengar sesuatu bunyi di halaman rumahnya di Jalan Kemajuan 22, Taman Universiti di sini.

Menurutnya, dia mendapati terdapat kesan kebakaran pada lantai rumah dan terdapat serpihan kaca disyaki bahan bakar yang dilemparkan ke kediamannya itu.

“Apabila saya memeriksa rakaman CCTV didapati sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki berhenti di hadapan rumah sebelum melakukan perbuatan itu.

“Mereka juga menampal notis di tiang pagar yang mencatatkan nama anak lelaki dan memberi amaran supaya menjelaskan hutang dengan segera.

“Apabila menghubungi anaknya yang bekerja di Lapangan Terbang Changi, Singapura, anak saya menyatakan pernah berurusan dengan ceti haram namun terpaksa membatalkan hasrat untuk meminjam atas sebab tertentu,” katanya.

Hoo berkata, anaknya mendakwa dia berurusan dengan ceti haram itu pada awal November lalu yang pada awalnya mereka mengaku sebagai syarikat peminjaman wang berlesen hingga tidak berfikir panjang untuk berkongsi maklumat peribadi mahupun butiran keluarga.

Menurutnya, anak lelakinya yang berusia 30-an dan masih berstatus bujang mendakwa dia tidak menerima pinjaman sebanyak dolar Singapuran (SGD)30,000 (RM95,192) seperti dijanjikan dan memaklumkan pihak berkenaan untuk membatalkan urusan itu.

Katanya, namun anaknya tetap menjadi sasaran ceti haram yang mendakwa sudah memindahkan sejumlah wang ke akaun banknya sebelum menuntut kadar bunga sebanyak SGD10,000 (RM31,730).

“Daripada saat itu, anak mendakwa dia menerima pelbagai ugutan daripada ceti haram mahu mengancam keselamatan keluarga hingga terdesak menyerahkan SGD7,000 (RM22,211) pada November lalu.

“Mereka ugut mahu serang anak saya sekiranya membuat laporan polis, tidak disangka mereka semakin melampau hingga mengganggu rumah keluarga.

“Buat masa ini, hanya saya tinggal berseorangan di rumah kerana menasihati isteri serta ahli keluarga lain supaya menumpang di rumah kenalan buat sementara hingga isu ini dapat diselesaikan.

“Saya bersengkang mata hampir setiap hari kerana bimbang rumah kami akan diancam semula hingga menyebabkan tahap kesihatan merosot.

“Mereka amat berani dan bebas melakukan apa saja umpama negara ini tiada undang-undang,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Taman Universiti, di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika mengadu permasalahannya kepada wakil khas Ahli Parlimen Iskandar Puteri Ng Siam Luang, di sini, hari ini.

Ng berkata, pihaknya menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.

“Orang ramai juga perlu lebih berwaspada dengan pelbagai taktik ceti haram bagi menipu peminjam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top