TAK JEJAS MODAL TEROKA

TAK JEJAS MODAL TEROKA

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet Sdn Bhd (FV) tidak akan menjejaskan keinginan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) untuk terus melabur dalam syarikat pemula.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaburan modal teroka (VC) masih kekal dalam mandat Khazanah serta akan meneruskan usaha untuk menyokong ekosistem syarikat pemula dan modal teroka sambil menambahbaik mekanisme kawalan.

“Pelaburan modal teroka memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia, membantu negara beralih ke status berpendapatan tinggi melalui inovasi dan pertumbuhan mampan.

“Pelaburan modal teroka berupaya memacu inovasi dengan menyediakan modal untuk pemula dan perusahaan yang berpotensi mencipta ekonomi baharu, teknologi baharu dan model perniagaan baharu.

“Ia sekali gus membuka peluang dan akses awal kepada trend dan industri baru yang berpotensi dengan matlamat membangunkan ekonomi,” katanya semasa waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai adakah Khazanah tidak akan melabur dalam syarikat pemula lagi selepas isu yang berlaku dengan pelaburan di FV.

Mengulas lanjut katanya, pelaburan modal teroka juga membantu mencipta peluang pekerjaan, merangsang ekonomi dan memperkenalkan teknologi maju dari pasaran luar negara ke Malaysia.

“Melalui sokongan terhadap syarikat baharu, modal teroka juga menggalakkan persaingan yang mendorong peningkatan inovasi dan produktiviti dalam ekonomi negara,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pelaburan modal teroka adalah bersifat tiada kepastian dan matlamatnya adalah untuk pertumbuhan.

“Walaupun risikonya tinggi tetapi sekiranya berjaya, akan berpotensi menjana keuntungan yang tinggi.

“Menyedari risiko dan ganjaran melabur dalam modal teroka dan ekuiti persendirian, kedua-dua pihak mengambil keputusan menguruskan pelaburan dan menilai prestasi berdasarkan portfolio pelaburan secara keseluruhan dan bukannya pelaburan tertentu.

“Sebagai contoh, pelaburan Khazanah di dalam perniagaan tenusu tempatan, Farm Fresh Berhad merupakan sebahagian daripada pelaburan modal teroka yang memberi pulangan lebih daripada 13 kali ganda, iaitu nilai melebihi RM800 juta,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top