‘Tak kisah siapa lawan, kami mahu menang semua perlawanan’

‘Tak kisah siapa lawan, kami mahu menang semua perlawanan’
Tierney (kanan) yakin kemampuan skuad negara di pentas Piala ASEAN B-23. FOTO: MALAYSIA NT

Tierney (kanan) yakin kemampuan skuad negara di pentas Piala ASEAN B-23. FOTO: MALAYSIA NT

PENYERANG Harimau Muda, Fergus Tierney melaungkan keyakinan terhadap kemampuan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara menjelang saingan Piala ASEAN B-23 yang bakal membuka tirainya pada 15 Julai ini di Jakarta, Indonesia.

Menurut Tierney, semangat juang tinggi yang ditampilkan rakan sepasukan dalam sesi latihan serta pendekatan taktikal yang diterapkan oleh pengendali pasukan, Nafuzi Zain menjadi pemangkin keyakinan dalam usaha mencipta kejayaan dalam kejohanan itu.

“Kami menjalani latihan yang sangat bagus bersama jurulatih Nafuzi. Setiap hari kami belajar sesuatu yang baharu dan masih ada seminggu lagi sebelum kejohanan bermula. Jadi ada ruang untuk terus memantapkan pasukan,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran pasukan, pemain kacukan itu menegaskan bahawa Harimau Muda tidak gentar untuk berdepan mana-mana lawan dan akan turun dengan misi untuk menang dalam setiap perlawanan.

Beliau juga mengakui teruja untuk beraksi menentang pasukan tuan rumah, Indonesia terutama apabila mereka diundi dalam kumpulan yang sama bersama Garuda Muda.

“Kami ingin menang semua perlawanan. Tak kisah siapa lawan kami, matlamat tetap sama iaitu menang setiap kali turun ke padang.

“Semua tahu bagaimana sokongan yang diberikan oleh penyokong mereka. Tapi saya sangat teruja untuk beraksi di hadapan mereka. Jika ada tekanan, tekanan menciptakan bintang,” ujarnya.

Untuk Piala ASEAN kali ini, skuad Harimau Muda disasarkan untuk mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan edisi kelima itu.

Selain diundi bersama Indonesia dalam Kumpulan A, Harimau Muda juga akan berdepan cabaran daripada Filipina dan Brunei dalam usaha merebut slot ke peringkat kalah mati.

Scroll to Top