Kerajaan mula memperketatkan kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi pelaksanaan saringan bersasar berasaskan risiko, khususnya terhadap penumpang antarabangsa yang menuju ke destinasi dikategorikan berisiko tinggi.

Memetik laporan Berita Harian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara langkah yang telah dilaksanakan ialah pemeriksaan bagasi secara 100 peratus selain pemeriksaan fizikal (pat-down) terhadap penumpang terlibat.
Menurut beliau, tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada 17 syor kerajaan bagi memperkukuh aspek keselamatan, proses saringan dan pengurusan risiko di KLIA serta pintu masuk antarabangsa negara.
Kesemua syor berkenaan dibahagikan kepada tiga fasa pelaksanaan dengan tumpuan ketika ini diberikan kepada langkah jangka pendek bagi tempoh enam bulan pertama bermula Ogos.
“Buat masa ini, kita sudah melaksanakan saringan bersasar berasaskan risiko secara serta-merta.
“Seketika ini, bagi penerbangan keluar dari KLIA, kita menjalankan pemeriksaan fizikal dari kepala ke kaki terhadap penumpang serta pemeriksaan bagasi 100 peratus,” katanya.
Saifuddin menjelaskan, pemeriksaan lebih ketat itu tidak membabitkan semua penerbangan sebaliknya tertumpu kepada destinasi tertentu berdasarkan penilaian risiko.
“Ini membabitkan destinasi penerbangan yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi berdasarkan data dan kes, sama ada yang dilaporkan atau tidak dilaporkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PAS–Kota Bharu) berhubung perkembangan terkini pelaksanaan 17 syor berkenaan susulan beberapa insiden yang mencetuskan kebimbangan terhadap integriti kawalan keselamatan negara.
Menurut Saifuddin, destinasi yang merekodkan insiden penyeludupan secara kerap, termasuk Indonesia dan beberapa lokasi lain, dikategorikan sebagai berisiko tinggi.
Selain memperketatkan pemeriksaan penumpang dan bagasi, kerajaan turut memberi perhatian terhadap aspek kawalan akses di KLIA.
Foto: Harian Metro
Antaranya termasuk cadangan menyemak semula tempoh sah kad akses yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan. Kad berkenaan ketika ini mempunyai tempoh sah selama lima tahun menerusi sistem tapisan elektronik, namun dicadangkan supaya tempohnya dipendekkan kepada dua tahun sebelum perlu diperbaharui.
“Pas akses yang dikeluarkan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga tertakluk kepada kawalan yang lebih ketat.
“Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada maklum balas kerajaan susulan insiden berkaitan dadah membabitkan seorang pembantu juruterbang Malaysia Airlines yang ditangkap di Jakarta,” ujarnya.
Saifuddin berkata, Kabinet memandang serius insiden berkenaan kerana ia bukan sekadar melibatkan pelanggaran keselamatan rutin, malah mempunyai kaitan dengan aspek keselamatan, kedaulatan serta reputasi negara.
“Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan telah diamanahkan dengan perkara ini. Terdapat 17 syor yang telah kami bahagikan kepada tiga fasa,” tambahnya lagi.
Beliau berkata, pelaksanaan langkah semasa akan dinilai terlebih dahulu bagi melihat keberkesanannya sebelum kerajaan meneruskan tindakan di bawah fasa kedua.
Sumber: Berita Harian (Luqman Hakim dan Hakim Mahari)




