zhahirah@hmetro.com.my
Pengalaman lebih empat dekad dalam industri muzik rock tidak menjadikan pemain gitar tersohor tanah air, JoBranko seorang yang kedekut ilmu.
Sebaliknya, JoBranko yang juga pemain gitar kumpulan Barbarik kini aktif berkongsi kepakaran dan pengalaman bersama pemuzik muda yang serius mahu menimba ilmu, terutamanya dalam permainan gitar dan penulisan muzik rock.
“Saya tak nak ilmu saya terkubur begitu saja. Apa yang saya tahu, saya kongsi. Itu tanggungjawab kita sebagai orang lama,” katanya dalam podcast Apa-Apa Saja Harian Metro, baru-baru ini.
Menurut JoBranko, banyak perubahan berlaku dalam landskap muzik hari ini, namun masih ramai pemuzik muda yang masih menghargai disiplin dan kesungguhan dalam mencipta karya.
“Saya selalu ingatkan mereka, jangan tinggal akar rock itu sendiri. Teknologi boleh bantu, tapi jiwa muzik kena asli,” katanya.
Katanya, lebih membanggakan apabila ada antara mereka kini sudah mula berkarya secara serius dan menghasilkan lagu-lagu rock yang ada identiti tersendiri.
JoBranko juga menyimpan harapan agar lebih banyak ruang diberikan kepada pemuzik generasi baharu yang membawa semangat ‘old school’ dalam nafas moden.
“Kalau kita nak rock terus hidup, bukan saja kita kena mainkan, tetapi kena turunkan kepada yang akan teruskan perjuangan ini.” katanya.
JoBranko turut mengakui bahawa bukan mudah untuk menanam semangat disiplin dalam kalangan generasi muda hari ini kerana cabaran dunia hiburan yang lebih pantas dan bersifat permukaan.
Namun, katanya, bakat yang diasah dengan kesungguhan dan hormat pada seni tetap akan menonjol.
“Ramai budak muda sekarang main gitar laju, teknik hebat tetapi kalau tak faham ‘rasa’ lagu, ia kosong. Sebab itu saya ajar bukan sekadar petik tali, tapi hayati emosi dalam setiap nada,” katanya.
Bagi JoBranko, mengajar bukan sekadar mewariskan kemahiran, tetapi juga nilai perjuangan, kesabaran dan jati diri dalam berkarya.
Katanya, itu lebih penting daripada sekadar populariti yang sementara.
Sementara itu, walaupun muzik rock tidak lagi sehebat era 80-an dan 90-an, JoBranko percaya genre itu tetap hidup cuma tampil dalam wajah berbeza mengikut perubahan zaman.
“Dulu orang main rock sebab itu darah daging mereka. Sekarang ada juga anak muda yang berbakat, tapi banyak yang terlalu kejar viral, bukan kejar seni,” katanya.
Menurut JoBranko, teknologi dan media sosial sememangnya mengubah banyak perkara, namun jati diri dalam berkarya tidak seharusnya tergadai.
“Kalau nak kekal lama dalam industri muzik, buat muzik kerana cinta, bukan sebab nak ‘trending’. Rock itu bukan gaya tetapi ia jiwa,” katanya.
Dengan pengalaman lebih empat dekad pengalaman, JoBranko dilihat sebagai antara ikon penting yang menjadi jambatan antara era rock klasik dan generasi moden.
© New Straits Times Press (M) Bhd