am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Seorang pekerja kontrak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Yong Peng, di sini, tadi, atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian penunggang motosikal di Ayer Hitam, di sini, Khamis lalu.
Tertuduh, Mohamad Afiq Ikmal, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian Muhammad Nurhaffiz Idris, 31, dalam kemalangan di Kilometer 32.5, Jalan Kluang-Batu Pahat di sini, jam 10.20 malam, 11 November lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) dengan penjara sehingga 15 tahun atau denda RM100,000.
Bagi kesalahan itu juga, tertuduh boleh kehilangan kelayakan lesen memandu atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang tujuh tahun dari tarikh sabitan.
Berdasarkan laporan, polis menerima maklumat berkait satu kemalangan jalan raya yang membabitkan kereta dan motosikal.
Hasil siasatan mendapati, tertuduh yang pulang dari pasar raya membuat pusingan U untuk patah balik ke rumah.
Motosikal ditunggang mangsa datang dari arah sama gagal mengelak lalu bertembung kereta dipandu tertuduh.
Akibatnya, mangsa meninggal dunia di lokasi manakala tertuduh dan seorang lagi penumpang dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan dari tempat kerja di Singapura untuk pulang ke rumahnya di Taman Bukit Mutiara, Ayer Hitam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Susulan pengakuan tidak bersalah, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dan menetapkan 10 Disember ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.
© New Straits Times Press (M) Bhd



