Tak Menyesal Berehat Setahun Tatkala Nama Dikenali, Aniq Suhair Baiki Hubungan Dengan Allah

Tak Menyesal Berehat Setahun Tatkala Nama Dikenali, Aniq Suhair Baiki Hubungan Dengan Allah

“Sejujurnya, saya tak pernah rasa sesal berehat walaupun ketika itu kerjaya dalam bidang lakonan sedang meningkat.”

Demikian pendirian pelakon Aniq Suhair, 25, yang tidak menyesal dengan keputusannya untuk ‘hilang’ dari radar dunia seni selama lebih setahun tatkala namanya sedang dikenali.

Menurut Aniq, langkah untuk menyepi dari industri hiburan dibuat bagi memberi tumpuan kepada pengajiannya dalam bidang perniagaan serta mendekatkan diri dengan Allah.

“Ketika saya berehat, tempoh itu buat saya tenang dan ia sukar nak digambarkan dengan kata-kata. Saya juga temui kunci untuk lebih dekat dengan Allah,” katanya.

Aniq ditemui pada majlis sidang media telefilem Bos Nak Cuti yang berlangsung di pejabat A Aida Production, pada Jumaat.

Sepanjang tempoh berehat itu, Aniq juga mendedahkan dia sering dibelenggu rasa rindu untuk kembali ke lokasi penggambaran.

“Rasa rindu itu terlalu kuat, macam gian nak hidupkan karakter baru. Tapi saya percaya rehat itu perlu dan beri banyak makna dalam hidup,” katanya.

Kembali aktif dalam bidang seni, Aniq menjelaskan fokus utamanya kini turut tertumpu kepada tanggungjawab dalam perniagaan keluarga yang terlibat dalam sektor makanan dan minuman (F&B).

“Boleh dikatakan lakonan sekarang menjadi kerjaya kedua saya. Saya akan memberi tumpuan terhadap perniagaan yang saya uruskan terlebih dahulu, barulah kerjaya dalam bidang seni.

“Buat masa ini, saya memilih untuk terlibat dengan projek ringkas seperti telefilem dan iklan berbanding projek yang memerlukan masa panjang.

“Tapi kalau ada masa dan skrip yang sesuai, saya tetap akan berlakon. Telefilem atau filem pendek lebih fleksibel dari segi masa.

“Saya tidak menolak untuk berlakon drama bersiri, asalkan jadual tidak bertembung dengan komitmen lain,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Aniq turut meluahkan cita-citanya untuk meraih pengiktirafan sebagai pelakon lelaki terbaik dan komited untuk memberikan mutu lakonan terbaik dalam setiap naskhah yang diterimanya.

“Saya pernah menang trofi Anugerah BBNU Tonton berdasarkan populariti di Anugerah Drama Sangat 2023. Selepas ini, saya sasarkan untuk menang trofi pelakon terbaik pula.

“Berlakon memang minat saya, jadi saya berharap dapat memperbaiki kualiti lakonan dan memberikan persembahan terbaik dalam setiap karya,” katanya.

Mengulas mengenai penglibatannya dalam Bos Nak Cuti, Aniq menyatakan keterujaannya dapat bergandingan dengan Azeva Natassha serta bekerja di bawah arahan pengarah berpengalaman, Zul Huzaimy terbitan A Aida Production.

Telefilem Bos Nak Cuti mengisahkan watak Melati (lakonan Azeva), seorang pekerja yang terdesak mahu bercuti untuk pulang ke kampung, tetapi dihalang oleh bos barunya, Adrian (lakonan Aniq). Melati nekad menipu Adrian kononnya dia perlu ke luar bandar atas urusan kerja, sedangkan niat sebenarnya adalah untuk pulang ke kampung sambil membawa bosnya sekali.

Sepanjang perjalanan, pelbagai insiden lucu dan konflik berlaku, termasuk bibit cinta yang tidak disangka-sangka antara mereka. Ketegangan memuncak apabila Melati hampir bertunang dengan lelaki kampung yang rupa-rupanya seorang penipu. Namun, akhirnya Adrian tampil menyelamatkan keadaan dan melamar Melati dengan restu ibunya.

Bos Nak Cuti akan disiarkan menerusi saluran Salam HD di Unifi TV hari ini, (Ahad, 27 Julai) jam 3 petang.

Penonton boleh menonton secara percuma melalui aplikasi Unifi TV.

Scroll to Top