razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Ramai membayangkan tugas pengendali kuda sekadar membersih, memberi makan dan melatih haiwan itu di kandang.
Namun bagi Muhammad Danial Abdul Razak, 32, tanggungjawabnya jauh lebih mencabar apabila perlu mengiringi kuda bernilai tinggi terbang merentas benua termasuk ke Perancis, Belanda dan Luxembourg, selain memastikan haiwan itu selamat tiba ke destinasi yang dituju.
Anak jati Kuala Lumpur itu berkata, minat terhadap kuda sudah bermula sejak kecil sebelum dia terbabit secara serius dalam bidang berkenaan selepas tamat persekolahan.
Katanya, penerbangan pertamanya ketika dia berusia 21 tahun ke Sabah bersama tiga ekor kuda.
“Sejak itu saya mula aktif mengiringi kuda dari dalam dan ke luar negara
“Pergerakan kuda melalui udara merangkumi pelbagai tujuan termasuk untuk pertandingan, pemindahan pemilik dan ada juga yang dihantar pulang ke Eropah untuk bersara.
“Apabila ada kuda yang perlu diterbangkan, sebagai pengendali, saya perlu mengikut sekali dalam penerbangan bagi memantau keadaan haiwan sepanjang perjalanan, termasuk memastikan kuda makan, minum dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Mengulas skop tugasnya, Muhammad Danial berkata, di darat dia bertanggungjawab memastikan kuda berada dalam keadaan sihat.
“Ia berbeza ketika di udara kerana tumpuan utama adalah memastikan kuda kekal stabil dalam penerbangan yang panjang. Ada kalanya penerbangan mengambil masa berjam-jam dan merentas beberapa negara.
“Sepanjang tempoh itu saya perlu pastikan kuda sentiasa dalam keadaan sihat, (memberi) makan, minum dan tidak cedera. Jika ada masalah, saya akan maklumkan kepada penerima atau veterinar di sana,” katanya.
Antara pengalaman paling membanggakan sepanjang terbabit dalam bidang itu, apabila dia diamanahkan membawa kuda milik atlet negara untuk beraksi di temasya Sukan SEA.
“Pada tahun lalu, tujuh daripada 13 ekor kuda yang mewakili kontinjen Malaysia diterbangkan dari Malaysia dan saya sendiri mengendalikan penghantaran berkenaan ke tempat pertandingan.
“Membawa kuda ke Sukan SEA memang satu tanggungjawab besar kerana ia membabitkan nama negara. Apabila melihat kuda yang kita bawa selamat tiba dan dapat beraksi, ia satu kepuasan yang sukar digambarkan,” katanya.
Muhammad Danial mengakui tugas itu bukan mudah kerana menuntut ketahanan fizikal dan mental tinggi kerana perubahan emosi haiwan boleh berlaku secara mengejut, terutama apabila berada dalam persekitaran asing, bising dan penuh pergerakan.
“Saya pernah berdepan situasi kuda mengamuk ketika penerbangan, selain ada kes kuda terjatuh akibat olakan udara.
“Dan apabila keadaan ini berlaku, ilmu serta pengalaman sangat penting untuk menenangkan haiwan ini sepanjang perjalanan,” katanya.
Berkongsi perancangan masa depan, dia bercadang mengembangkan kepakarannya bukan sahaja untuk kuda malah haiwan ternakan lain memandangkan proses dokumentasi serta logistik mempunyai persamaan.
“Saya mahu kembangkan operasi kepada ternakan seperti lembu dan kambing yang mendapat permintaan tinggi di pasaran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




