Tak mustahil Harimau Malaya dalam kelompok 100 terbaik dunia – Hamidin

Tak mustahil Harimau Malaya dalam kelompok 100 terbaik dunia – Hamidin

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Harapan melihat skuad Harimau Malaya berada dalam kelompok 100 terbaik dunia bukan angan-angan kosong, sebaliknya ia bakal menjadi realiti.

Menurut Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin, beliau percaya impian itu mampu dicapai apatah lagi ketika ini skuad bola sepak negara dalam transisi revolusi.

Jelas Hamidin yang juga bekas Presiden FAM itu, kebangkitan skuad negara di bawah revolusi bola sepak yang digerakkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dilihat semakin membuahkan hasil.

“Jika semua pihak berganding bahu dan memberikan sokongan, saya percaya tidak mustahil untuk kita berada dalam kelompok 100 terbaik dunia dalam dua atau tiga tahun lagi.

“Namun, usaha itu perlu konsisten kerana negara-negara lain juga sedang giat memperkukuhkan pasukan masing-masing. Perancangan berterusan sangat penting untuk memastikan Harimau Malaya kekal kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya.

Ranking pasukan negara melonjak enam anak tangga daripada kedudukan ke-131 dunia kepada tempat ke-125 dunia iaitu kedudukan terbaik dalam tempoh 19 tahun sejak kali terakhir Malaysia menduduki kedudukan sama pada Februari 2006.

Perkembangan itu turut didorong oleh pelaksanaan revolusi perancangan jangka pendek termasuk kemasukan pemain-pemain warisan yang kini mememainkan peranan penting dalam skuad kebangsaan.

Dalam pada itu, Hamidin turut menegaskan penglibatan menyeluruh pelbagai pihak akan menjadi tunjang kepada masa depan bola sepak negara.

“Saya kira semua peminat sudah faham tentang revolusi baharu ini. Apa yang penting, kita sebagai rakyat Malaysia perlu terus menyokong pasukan kebangsaan agar kejayaan lebih besar dapat dicapai.

“Kita semua mengimpikan pencapaian lebih cemerlang berbanding sekarang. Jadi, usaha berterusan mesti diteruskan. Dengan inisiatif yang dibawa oleh Tunku Mahkota Ismail, saya yakin kita berada di landasan yang betul untuk terus maju.

“Namun, kita tidak boleh selesa. Kita mesti terus berubah dan mencari formula lebih baik untuk meningkatkan prestasi pasukan. Kalau tidak, kita akan kembali merosot,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top