Tak nak 'ponteng' puasa

Tak nak 'ponteng' puasa

am@hmetro.com.my

ANGGOTA kumpulan Dolla, Tabby, 24, mengakui ini tahun kedua dia berpuasa pada Ramadan dan mahu meneruskan amalan itu kerana mempunyai ramai rakan beragama Islam yang mengamalkan Rukun Islam ketiga itu.

Tabby atau nama sebenarnya Tabitha Ariel Lam berkata, pada mulanya dia cuba melakukan amalan itu kerana mengikut dua anggota Dolla iaitu Sabronzo dan Syasya yang berpuasa pada Ramadan tahun lalu.

“Saya akui pada tahun pertama berpuasa ia sangat sukar kerana semua anggota Dolla suka minum kopi pada waktu siang hari.

“Kalau minum kopi dekat jam 7 lebih dan masuk waktu berbuka puasa nanti kita tak boleh tidur.

“Pada masa sama, saya juga suka minum air dan sangat susah mahu elak dari minum air sejuk bila ada penggambaran di luar kerana cuaca negara kita yang panas,” katanya.

Mengenai berpuasa lagi, kata Tabby, dia juga merancang berpuasa penuh pada Ramadan tahun ini.

“Saya tidak dapat puasa penuh tahun lalu kerana ada halangan. Tahun ini agak mudah bagi saya kerana sudah ada pengalaman berpuasa pada tahun lalu.

“Sabronzo dan rakan-rakan beragama Islam juga banyak menyokong saya berpuasa dan ada masanya kami dapat berbuka bersama. Begitu juga anggota keluarga, mereka juga memahami yang saya mempunyai ramai rakan berpuasa.

“Salah satu sebab saya berpuasa juga kerana amalan ini baik untuk kesihatan. Saya pula amalkan diet dan berpuasa adalah amalan sihat untuk tubuh kita,” katanya.

Ditanya mengenai bersahur pula, kata Tabby, dia juga bangun seawal jam 5 pagi untuk makan sahur.

“Saya bukan orang yang suka bangun pagi. Tapi, saya tetap akan cuba bangun sahur bila larat.

“Waktu sahur selalunya saya tidak ambil sajian yang berat kerana saya suka makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Antara menu sahur yang ringan seperti ‘pancake’ (pankek).

“Selain itu, saya juga suka makan kurma dan selalunya kalau tidak puasa pun ada kurma di rumah,” katanya.

Sementara itu, ditanya bagaimana dia mendapat tenaga ketika berpuasa pada Ramadan dengan agenda seni kumpulan Dolla yang padat, kata Tabby, dia tidak mengambil makanan dalam kuantiti banyak kerana mengamalkan diet.

“Bila mengamalkan diet, kita tak makan banyak pada waktu siang dan hanya makan sedikit, jadi tidak susah untuk elak dari makan tengah hari sebab berpuasa.

“Kalau sibuk bekerja atau terbabit dengan aktiviti nyanyian mahupun penggambaran, kita tidak fikir sangat soal makan dan minum berbanding kalau berehat di rumah tanpa berbuat apa-apa,” katanya.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top