Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar pihak yang mempersoalkan hasil lawatannya ke Perancis dan Itali baru-baru ini dengan menyindir kononnya mereka “mata rabun” kerana gagal melihat potensi besar pelaburan yang telah dibawa pulang ke tanah air.
Menurut Anwar, projek yang terhasil daripada lawatan itu bukan kecil nilainya, malah mencecah berbilion ringgit dan telah pun mula dilaksanakan di beberapa negeri.
“Projek berjalan jadi sepatutnya Ahli Parlimen di Kedah, di Johor tengoklah. Projek itu besar bukan projek kecil yang tidak nampak walaupun cip itu kecil bangunan itu besar. Itu pun tidak nampak.
“Yang terlaksana projek untuk menyatakan (kata) pelaburan berpuluh billion tapi tidak nampak apa, itu masalah mata rabun bukan masalah saya.
“Pergi jumpa pakar mata, kalau tidak ada kita minta Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) tolong bantu,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Tak nampak pelaburan puluh bilion itu masalah rabun
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ronald Kiandee (Bersatu-Beluran) dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri.
Tambah Anwar, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan memberikan perincian lanjut mengenai nilai dan jenis pelaburan yang berjaya diraih sepanjang lawatan tersebut.
Terdahulu, Anwar mengadakan lawatan kerja ke tiga negara bermula di Itali pada 1 Julai dan berakhir di Brazil pada 7 Julai. Lawatan itu berjaya membuka peluang pelaburan baharu dengan potensi melebihi RM8 bilion di Itali dan kira-kira RM4 bilion di Perancis.
Artikel lain: PM Anwar tolak dakwaan pelaburan berbilion ringgit tak bawa hasil
Semalam, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan turut membidas dakwaan pembangkang bahawa lawatan Anwar tidak membawa sebarang makna kepada negara.
Beliau menegaskan pertemuan Anwar bersama pemimpin tertinggi kedua-dua negara termasuk Presiden Perancis Emmanuel Macron adalah signifikan kerana pelbagai perkara penting telah dibincangkan dalam sesi empat mata.

Kredit Foto: Pejabat Perdana Menteri | Afiq Hambali
Katanya, isu ketibaan Anwar di Perancis yang tidak disambut Macron bukan sesuatu yang luar biasa kerana lawatan tersebut bukan bersifat rasmi sepenuhnya.
Sumber: Malaysia Gazette(Shawaliah Hadir)