norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Ini rezeki saya dan takkan nak tolak. Lagi pun, saya dilahirkan menerusi program Mentor di bawah TV3, sekarang Media Prima. Jadi, bagi saya tiada apa yang pelik dan tak perlu jadi isu.”
Demikian kata penyanyi, pelakon dan pengacara Shiha Zikir, 37, yang ditanya mengenai dirinya didakwa sering kelihatan muncul dalam program terbitan TV3, termasuk drama dibintanginya.
Menurut Shiha, dia malah amat berterima kasih dengan TV3 dan pihak Media Prima kerana sudi memberi peluang kepadanya dan kepercayaan menggalas apa saja tanggungjawab.
“Saya adalah protege kepada Allahyarham Datuk Sharifah Aini sebagai mentor ketika itu. Jadi, pada orang yang bercakap asyik saya saja muncul di TV3, mungkin mereka tak betul-betul tahu dan ‘follow’ (mengikuti) perjalanan Shiha Zikir.
“Apapun, terima kasih banyak-banyak kepada Media Prima sebab mereka masih lagi memberi ruang kepada saya yang bukan siapa-siapa ini dan masih beri kepercayaan untuk saya dalam karier seni ini,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Shiha hadir pada sidang media program, Famili Duo musim keempat (FD4) terbitan TV3 bersama kakaknya, Ieda Zikir sebagai pasangan duo bertanding di The Grey Box, GMBB, Bukit Bintang baru-baru ini.
Dalam pada itu, Shiha juga menitipkan peringatan kepada sesiapa saja agar tidak terlalu mengikut mulut orang yang mungkin gemar mewujudkan persoalan tidak wajar.
“Jadi, kalau saya ikut mulut orang, benda ini pun saya nak ingatkan pada sesiapa yang selalu ikut mulut orang ini, jangan ikut apa kehendak orang lain, untuk apa?
“Asalkan benda kita buat itu benda baik, benda yang okay dan ‘go’. Tak perlu buat benda itu untuk populariti, nak mendapat pujian orang lain, tak perlu. Tapi, buatlah apa yang kita rasa nak buat.
“Kalau nak ikut mulut orang, eh asyik dia ini saja, memang saya pun tak nak masuk Famili Duo ini. Tapi, saya abaikan benda-benda negatif dan akan layan serta menghargai orang yang positif, termasuk orang yang baik-baik saja,” katanya.
Mengulas kerjasama dengan kakaknya, Shiha berkata, Ieda adalah penyanyi yang aktif dalam karier seni di awal tahun 2000.
Namun, selepas berkahwin dengan pengarah, Allahyarham Majed Salleh, dia menyepi diri.
“Kakak saya lebih dulu jadi penyanyi sebelum ini, tapi dia memilih memberi tumpuan pada anak-anak dan keluarganya, jadi dia langsung tidak aktif menyanyi lagi selepas berkahwin. Arwah abang ipar saya pun pengarah drama.
“Saya teruja menyertai program FD4 ini kerana dapat menyanyi duo dengan kakak. Kami akan berusaha memberi persembahan terbaik dalam pertandingan ini kerana peserta lain pun sangat hebat,” katanya.
Program FD4 menampilkan persaingan enam pasangan penyanyi duo bersaudara secara langsung disiarkan TV3, mulai 20 Oktober ini, jam 9 malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd


