Walaupun perkahwinan tidak lagi bertahan, pelakon Emma Maembong tetap memilih untuk menyambut Aidilfitri bersama bekas suami demi memastikan anak-anaknya membesar dengan rasa kasih sayang yang lengkap.
Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 33, berkata keputusan itu dibuat bukan sekadar untuk menjaga hubungan baik, tetapi lebih kepada memenuhi keperluan emosi anak-anak.
Menurutnya, dia tidak mahu mereka merasai kekosongan seperti yang pernah dilaluinya suatu ketika dahulu.
“Saya tak nak anak-anak rasa berbeza… walaupun kami dah tak bersama, mereka tetap perlu rasa ada keluarga yang lengkap,” katanya.
Lebih menyentuh hati, Emma berkongsi pengalaman zaman kecilnya yang pernah berdepan situasi tidak memiliki gambar keluarga yang lengkap.
Malah, dia pernah melukis sendiri potret keluarga kerana terlalu menginginkan momen tersebut.
Pengalaman itu menjadi titik tolak buatnya untuk memastikan anak-anak tidak melalui perkara sama, apatah lagi ketika menyambut hari istimewa seperti Aidilfitri.

Dalam usaha mencipta kenangan bermakna, Emma turut mendedahkan mereka akan mengenakan pakaian sedondon pada pagi Syawal, satu tradisi yang diteruskan demi menggembirakan anak-anak.
“Tahun ini kami tetap akan ambil gambar bersama. Bagi saya, itu penting supaya anak-anak tahu tiada apa yang berubah,” ujarnya.
Tambah Emma, walaupun hubungan suami isteri tidak lagi seperti dahulu, dia dan bekas suami masih mengekalkan komunikasi yang baik serta saling bekerjasama dalam membesarkan anak-anak.
Baginya, kebahagiaan anak-anak adalah keutamaan, lebih-lebih lagi dalam mencipta memori indah yang akan dikenang sepanjang hayat.
“Dulu saya tahu macam mana perasaan tak ada gambar keluarga lengkap… sebab itu saya tak nak anak-anak rasa benda yang sama.
“Duit boleh dicari, tapi kenangan itu yang akan kekal,” katanya.




