Tak puas hati jangan luah di luar dewan

Tak puas hati jangan luah di luar dewan

am@hmetro.com.my

Seremban: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan menasihati kepemimpinan parti MIC menggunakan Dewan Tertinggi BN sebagai forum untuk memberikan sebarang pandangan atau meluahkan segala rasa tidak puas hati terhadap gabungan itu.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, kepemimpinan parti itu tidak seharusnya mengambil jalan singkat dengan meluahkan sebarang perkara di luar dewan tertinggi berkenaan kerana ia boleh disalahertikan.

“Jika ada apa-apa hasrat, kemukakan kepada Dewan Tertinggi BN, yang menjadi forum kepada parti-parti gabungan UMNO, MCA, MIC dan 14 parti lain.

“Kita perlu menggunakan forum dewan tertinggi itu untuk beri pandangan. Tak usahlah kita bercakap di luar, kadang-kadang boleh disalah erti.

“Jadi, ada baiknya pemimpin parti-parti komponen bertemu dan berbincang dalam Dewan Tertinggi BN kerana itu lebih baik daripada kita bercakap di luar atau memberi pandangan yang akhirnya memberi kesan negatif kepada parti sendiri,” katanya.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Karnival Kemerdekaan 2025 di Padang Permainan Kanak-Kanak Taman Pinggiran Senawang, di sini, tadi.

Beliau mengulas kenyataan beberapa pemimpin MIC yang memberi bayangan parti itu akan keluar daripada gabungan BN.

Isu itu timbul susulan parti berkenaan mendakwa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menunaikan janji jawatan Kabinet sekiranya menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Difahamkan, empat badan perhubungan negeri MIC dikatakan meluluskan resolusi untuk meninggalkan BN.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata Dewan Tertinggi BN sentiasa mengadakan mesyuarat dan seharusnya ia digunakan untuk meluahkan segala isi hati.

“Kalau ada pandangan bagi tahu lah, jangan isi hati itu dipendam dalam mesyuarat tapi di luar cakap lain, tak elok macam itu.

“Keharmonian dalam BN boleh terjejas dengan tindakan dan kenyataan seperti itu,” katanya.

Ahli Parlimen Rembau itu turut menegaskan bahawa MIC perlu terus berada dalam gabungan BN kerana telah bersama-sama membangunkan negara ini sejak zaman sebelum merdeka.

“Jika ada apa-apa yang perlu kita bincangkan secara lebih mendalam, sebaiknya bawa ke dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN,” tegasnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top