am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Golongan lelaki turut berisiko menjadi mangsa keganasan, namun laporan dibuat berhubung kes seumpama itu masih kurang.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata dalam isu berkaitan keganasan dan penderaan, kes membabitkan golongan lelaki tidak terkecuali dan perlu diberi perhatian.
“Kementerian sangat prihatin terhadap isu keganasan terhadap lelaki walaupun kurang dilaporkan.
“(Data kes keganasan terhadap lelaki), pertama dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan turut dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Terdapat perbezaan (angka) daripada data dikeluarkan kedua-dua pihak ini tetapi pada kami lelaki juga berisiko untuk jadi mangsa keganasan dan berhak dapat sokongan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Nelson Wences Angang yang ingin tahu apakah langkah diambil bagi menangani isu penderaan fizikal dan mental terhadap golongan lelaki yang dikatakan semakin ketara.
Noraini berkata, bagi kes berkaitan keganasan, ia tidak hanya tertumpu kepada wanita tetapi turut siasatan turut dilakukan membabitkan kes dengan lelaki sebagai mangsa.
Katanya, JKM menjalankan siasatan berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
“Di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut ditubuhkan satu jawatankuasa keganasan rumah tangga pada 2019.
“Ia bertujuan memantau dan menyelaras inisiatif kes keganasan rumah tangga dan kita ada Jabatan Pembangunan Wanita bersama dengan Jawatankuasa Keganasan Rumah Tangga.
“Melaluinya kita adakan advokasi dan intervensi, malah turut ada Talian Kasih 15999, ini bukan hanya untuk wanita sahaja dan apa lebih penting adalah perlu ada solidariti dan kesedaran mengenai isu ini,” katanya.
Sementara itu, Noraini turut menjawab soalan asal Nelson mengenai rancangan kerajaan bagi membantu suami yang berperanan sebagai pengurus rumah tangga sepenuh masa, berikutan perubahan dinamik sosial dan peningkatan penyertaan wanita dalam dunia pekerjaan.
Katanya, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di bawah peruntukan
Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 sudah mewujudkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri untuk memberi perlindungan kepada individu yang bekerja sendiri.
Katanya, skim ini turut boleh disertai oleh suami yang berperanan sebagai pengurus rumah tangga sepenuh masa yang juga bekerja sendiri dalam usaha menjana pendapatan keluarga.
“Perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri ini telah diperluaskan kepada 20 sektor yang layak mendapat perlindungan contohnya seperti perniagaan dalam talian dan teknologi maklumat.
“Individu bekerja sendiri termasuk suami yang mencarum di bawah skim ini akan mendapat perlindungan bermula dari tarikh dan masa caruman dibayar dan diperakui menerusi resit bayaran caruman,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd