Tak sabar nak balik peluk ayah, ucapan akhir Siti Auni

Tak sabar nak balik peluk ayah, ucapan akhir Siti Auni

am@hmetro.com.my

Kuantan: “Tak sabar nak balik, nak peluk ayah,” itu ungkapan terakhir Allahyarham Siti Auni Syafiqa Sheikh Ali, 18, ketika berbual menerusi panggilan video dengan bapanya, Sheikh Ali Sheikh Mustafa, 50, sebelum terbunuh akibat kemalangan di Jalan Bahau – Keratong, dekat Kampung Bukit Serok, Rompin, petang semalam.

Sheikh Ali berkata Siti Auni Syafiqa dan anak bongsunya, Siti Adawiya Syauqina, 13, mengikuti ibu mereka Salmieza Muhamed, 46, ke Alor Gajah, Melaka, sejak Khamis lalu untuk menghadiri kenduri kahwin.

Katanya, pada malam kejadian, Siti Auni Syafiqa membuat panggilan video memaklumkan akan pulang petang semalam.

“Kami berbual menerusi panggilan video itu dan turut serta anak sulung saya berusia 20 tahun yang sedang melanjutkan pengajian di Tanjung Malim, Perak.

“Ketika itu, Siti Auni Syafiqa cakap dia rindu saya, tak sabar nak balik dan nak peluk saya. Saya pesan balik cepat dan hati-hati tetapi petang semalam ada orang telefon, maklum dia sudah tiada kerana terbabit kemalangan.

“Saya tak kenal siapa yang telefon itu dan dia maklum seorang lagi anak saya parah,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 5:30 petang semalam, tiga terbunuh dan empat cedera selepas kereta dinaiki dalam perjalanan pulang ke Kuantan terbabas dan bertembung pacuan empat roda.

Ketika kejadian Allahyarham Siti Auni Syafiqa dan adiknya menaiki kereta bersama dua rakan ibu mereka serta anak masing-masing.

Sheikh Ali, berkata kenderaan dinaiki dua anaknya itu bergerak lebih awal dari Alor Gajah, manakala ibu mereka pulang dengan kenderaan berasingan.

“Akibat kemalangan itu, anak bongsu saya cedera di kepala, muka, badan dan saya dimaklumkan keadaan dilaporkan kritikal,” katanya.

Sheikh Ali, berkata Siti Auni Syafiqa penuntut Kolej Matrikulasi Gambang, di sini, mempunyai masalah jantung sejak kecil.

“Anak saya mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur sejak usia empat tahun.

“Sejak itu, kami berulang alik ke IJN setiap enam bulan dan ikutkan ada temujanji dengan pakar di sana dalam tempoh terdekat. Tapi dia dah tak ada, jadi tak ada temujanji tu,” katanya

Jenazah Allahyarham Siti Auni Syafiqa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bunian, di Chenor, Maran selepas proses bedah siasat selesai dijalankan di Jabatan Forensik, HTAA, jam 9 pagi ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top