'Tak sangka amalan kongsi duit raya jadi tular' – MK K-Clique

'Tak sangka amalan kongsi duit raya jadi tular' – MK K-Clique

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi dan pelakon, MK K-Clique, 30, memaklumkan amalan berkongsi duit raya bukan perkara baharu dilakukannya, namun tidak menduga tindakan bersedekah pada musim perayaan itu menarik perhatian ramai.

Terdahulu, tular di media sosial video MK atau nama sebenar Muhammad Hairi Amin Hamdan ketika dia mengagihkan duit raya kepada orang ramai yang sekali gus meraih pelbagai reaksi positif daripada peminat.

Rata-rata netizen meninggalkan komen pujian kepada MK dan menyifatkan bapa kepada seorang cahaya mata perempuan ini sebagai individu bersikap pemurah serta tidak lokek senyuman.

“Sebenarnya, berkongsi duit raya itu sudah selalu saya lakukan setiap kali musim perayaan. Bukan perkara baharu pun sebab tiap-tiap tahun sudah biasa buat.

“Memang saya akan keluarkan sedikit duit untuk berkongsi rezeki. Kebetulan ketika itu, saya balik meraikan hari raya di Sabah dan Pahang. Malah, duit raya itu pun masih berbaki lagi.

“Jadi, ada pula peminat yang tahu saya balik beraya. Maka, dapatlah berkongsi rezeki. Tetapi, setiap kali ada acara sepanjang musim raya dan saya pula ada kelapangan atau rezeki lebih, mesti dikongsi,” katanya kepada Harian Metro.

MK ditemui di set penggambaran filem Black Ops : Operasi Serigala arahan bersama Syafiq Yusof dan sutradara dari Hong Kong, Chui Tze Yiu di Ajinomoto, Jalan Kuchai Lama, di sini, malam tadi.

Ujar MK lagi, agihan duit raya dan sumbangan dibuat itu mengikut kemampuan semasanya termasuk sering berkongsi rezeki bersama kanak-kanak ketika pulang ke kampung sebelah isteri.

“Kadang-kadang apabila balik ke kampung isteri, saya juga akan singgah dan berkongsi duit raya kepada kanak-kanak. Sebab, rasa seronok melihat mereka teruja.

“Tetapi, tidaklah saya beri setiap masa. Semuanya bergantung kepada keadaan dan kemampuan saya. Cuma, syukur alhamdulillah pada hari raya itu kewangan saya mencukupi.

“Jika tidak cukup, saya biasanya akan minta maaf atau salurkan agihan duit melalui kod QR saja. Itu lebih mudah dan cepat. Malah, yang penting semua orang berpeluang dapat,” katanya.

Jelas MK, dia seboleh-bolehnya memang memastikan semua orang ditemuinya mendapat duit raya diagihkan itu dan tetap berusaha melayani tetamu secara adil terutama kanak-kanak yang masih kecil.

Barisan pelakon membintangi filem Black Ops: Operasi Serigala, selain MK ialah Datuk Aaron Aziz, Sharnaaz Ahmad, Andy Teh, Fauzi Nawawi, Elizabeth Tan, Anding Indrawani, Hisyam Hamid dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top