am@hmetro.com.my
Kuala Pilah: Kampung Jawa dekat sini mendapat durian runtuh apabila terpilih menerusi Program BSN Care Kampung Angkat MADANI oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).
Pada majlis yang disempurnakan di Masjid Tunku Muhriz, Kampung Jawa, pada Sabtu lalu itu, BSN menyumbang jumlah keseluruhan sebanyak RM40,000.
Ia bagi kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan surau berkenaan selain bantuan kepada komuniti kurang berkemampuan melalui pemberian bakul makanan kepada keluarga asnaf.
Ketua Jabatan Komunikasi Strategik BSN, Aizurra Mellissa Muzammil berkata, program melalui inisiatif BSN Care di bawah segmen komuniti itu menyokong inisiatif Kampung Angkat MADANI Kementerian Kewangan.
“Selaras dengan usaha nasional ini, kami menyokong Kampung Jawa dengan melaksanakan program memfokuskan komuniti yang menggalakkan jalinan kemasyarakatan, memupuk semangat perpaduan dan pembangunan komuniti secara holistik.
“Sasaran kami dengan menyokong kampung ini yang majoritinya terdiri daripada warga emas dengan memperkukuh kemudahan komuniti utama seperti Surau Tunku Muhriz.
“Ini termasuk memperkasakan peranan surau sebagai pusat ibadah, pembelajaran agama dan perhimpunan komuniti yang selamat, selesa dan aktif, bagi memastikan ia terus memenuhi keperluan sosial dan spiritual masyarakat setempat,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Negeri BSN Negeri Sembilan, Shahrul Nizam Razi; Ketua Kampung Jawa, Ahmad Tarmizy Mohd Nas dan Pengerusi Surau, Arshad Abdul Rashid.
Jelas Aizurra Mellissa, kerja penyelenggaraan dan tambah baik di surau itu merangkumi penambahbaikan kawasan wuduk wanita, siling dan dinding, serta kerja membaik pulih dan mengecat semula surau, membaiki tembok selain kerja melepa dinding bangunan.
“Manakala sumbangan 50 bakul makanan bernilai RM200 setiap satu yang mengandungi keperluan asas untuk keluarga asnaf dan warga emas bagi membantu meringankan beban kewangan,” katanya.
Sementara itu, Arshad, 67, berkata, pemilihan kampung berkenaan sebagai kampung angkat oleh salah satu jenama perbankan yang mempunyai nama besar umpama satu rahmat bagi kampung itu.
“Biasa kita dengar namanya sahaja jika ada urusan di bank. Tidak sangka hari ini mereka turun padang menyantuni warga kampung seperti kami, malah sanggup bergotong-royong mencantikkan surau.
“Saya selaku pengerusi dan wakil penduduk kampung sangat bersyukur serta berterima kasih kepada BSN. Sejak dibina lebih 10 tahun lalu, ini kali pertama surau ini ditambah baik.
“Surau ini menjadi tumpuan penduduk kampung untuk berjemaah. Malah dengan wujudnya beberapa taman perumahan di sekitar, ia turut digunakan penduduk taman berdekatan,” katanya.
Penerima sumbangan, Mohamad Hami Yassin, 69, berkata, dia kini tidak bekerja dan bergantung harap kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan baitulmal.
“Alhamdulillah, ada juga pihak yang masih ingat warga emas, warga kampung seperti kami. Bukan nilai sumbangan yang kami pandang, tetapi keihklasan hati mereka yang sanggup datang dari ibu negara menyentuh hati kami,” katanya yang juga bilal surau berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




