'Tak sangka terlepas pandang perkara yang sepatutnya ambil tahu'

'Tak sangka terlepas pandang perkara yang sepatutnya ambil tahu'

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kemeriahan Aidilfitri yang sepatutnya disambut dengan penuh rasa kesyukuran bertukar mimpi ngeri buat penyanyi meningkat naik, Agy atau nama sebenarnya Muhammad Affizy Mohd Khairy Rajan.

Segalanya bermula apabila lagu raya taruhannya, Lala Raya mencetuskan kontroversi panas sehingga dituduh menyentuh sensitiviti agama.

Video muzik yang dihasilkan dengan kos mencecah puluhan ribu ringgit itu kini menjadi bahan bualan bukan kerana kemerduannya, tetapi kerana babak yang didakwa menyerupai lukisan ikonik The Last Supper.

Bagi Agy, kritikan adalah lumrah dalam dunia seni, namun apabila ia mula membabitkan ancaman peribadi, segalanya menjadi tidak terkawal.

Dia mendedahkan terdapat pihak yang secara terang-terangan mahu menjatuhkan kerjayanya.

“Kalau tanya jujur, ada saja ugutan. Cuma benda itu kadang-kadang, saya anggap mereka hanya ada tekanan hidup. Takkanlah sampai ke tahap itu nak mengancam, tapi ancaman yang teruk sangat itu, tidaklah ada.

“Cuma ada yang kata, ‘I will bring you down, I will make your career end’ (Saya akan jatuhkan awak, saya akan menamatkan kerjaya awak). Selepas isu itu tular, barulah keadaan menjadi semakin buruk,” katanya.

Agy menegaskan sebagai seorang Muslim, dia tidak pernah terlintas di fikiran untuk menghina agamanya sendiri disebabkan nilai toleransi sangat menebal dalam dirinya kerana membesar dalam keluarga pelbagai kaum.

“Bagi saya, untuk mengejek atau mencerca sesebuah agama, kaum atau kepercayaan orang lain itu memang jauh sekali daripada niat saya. Jadi bila isu itu timbul, saya panik.

“Ancaman itu membuatkan kita rasa lebih takut. Bukan sebab kita salah, tapi sebab tanpa kita sedar, benda itu ‘terkena’.

“Sebab itu saya ambil keputusan untuk bertenang dulu, turunkan (video muzik) semuanya, dan barulah saya ada keberanian untuk bercakap,” katanya.

Punca utama kemarahan netizen adalah babak makan di meja panjang yang didakwa sengaja meniru elemen lukisan keagamaan Kristian.

Namun, bagi Agy, pendedahan netizen itu benar-benar membuatkannya buntu kerana rujukan asalnya hanyalah tradisi makan beradab.

“Sejujurnya saya sangat buntu. Kita tidak terfikir langsung ia menyerupai lukisan itu. Macam saya kata, ia sebenarnya menggambarkan situasi makan beradab.

“Mungkin sebagai orang kreatif, kadang-kadang kita terlepas pandang benda yang sepatutnya kita ambil tahu.

“Saya minta maaf awal-awal, memang kami perlu lebih peka selepas ini. Lepas nampak saja persamaan itu, saya terus hubungi pasukan untuk ambil tindakan pantas,” katanya.

Demi meredakan keadaan, Agy mengambil langkah drastik membuang babak sensitif termasuk babak meja makan itu secara keseluruhan.

Impak kontroversi ini bukan biasa-biasa sehingga Agy mengakui hampir menarik diri daripada industri seni.

Tekanan daripada media sosial seperti Threads benar-benar mengguris hatinya, apatah lagi apabila ia mula membabitkan emosi ibu tersayang.

“Istilah mengalah itu, mestilah ada bila kita rasa tertekan. Sejujurnya saya hampir mengalah dan mahu ‘take down’ semuanya sebab rasa keadaan sudah tidak terkawal.

“Saya terkesan apabila melihat kecaman di Threads. Saya sudah biasa dibenci, tapi bukan bermakna saya suka. Berkenaan suara pula, itu sebenarnya nada (key) yang tinggi.

“Bila menyanyi teknik falsetto, memang kedengaran kecil macam perempuan. Ibu mana yang tidak sedih bila anak dia dilabel dengan macam-macam panggilan?” katanya.

Bagaimanapun, Agy nekad untuk terus bertahan demi pasukan yang bertungkus-lumus membantunya.

Dia kini dalam proses melakukan perubahan imej, termasuk memotong rambut dan mengubah gaya pemakaian agar lebih diterima masyarakat.

Apa yang lebih menyedihkan, pelaburan besar yang dikeluarkan oleh Agy untuk video muzik Lala Raya kini seolah-olah sia-sia. Dia mendedahkan kos pembikinan video itu mencecah angka lima digit kerana menggunakan teknologi tinggi.

“Kos itu sebenarnya mencecah lima angka. Jika termasuk lagu, mungkin hampir enam angka. Video muzik ini nampak mahal dari segi produksi, penyuntingan bahagian rap, dan penggunaan kamera ‘robot hand’.

“Kami rakam hampir 24 jam sebab babak itu makan masa untuk tetapan kamera. Saya yang keluarkan duit sendiri, saya sanggup berbelanja sebab saya nak karya itu hebat.

“Cuma kekurangan saya mungkin membuatkan projek ini nampak ‘tempang’. Saya ambil ini sebagai pembakar semangat untuk perbaiki diri,” katanya.

Lagu Lala Raya yang dihasilkan bersama Syko G dan Ezly Syazwan sebenarnya membawa mesej tradisi keluarga di dapur. Namun, elemen kiasan dalam liriknya mungkin terlalu mendalam untuk difahami sesetengah pihak.

Agy berharap agar permohonan maafnya diterima dan orang ramai berhenti melemparkan kebencian. Baginya, kegagalan ini adalah satu proses pembelajaran yang amat mahal harganya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top