Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyerahkan notis tuntutan saman fitnah bernilai RM1 juta kepada Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo, berhubung dakwaan yang dibuat terhadapnya sebelum ini.
Menurut Asyraf, notis tersebut diserahkan oleh pasukan guamannya di kediaman Papagomo pada jam 2.15 petang, Rabu.
“Petang tadi pada jam 2.15pm, pasukan guaman saya telah menyerahkan secara rasmi Notis Tuntutan Saman kepada Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo di kediamannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Asyraf Wajdi serah notis saman fitnah
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan itu diambil susulan budaya politik kebencian dan fitnah yang menurutnya semakin berleluasa.
“Cukuplah budaya politik kebencian dan fitnah murahan. Kita mesti ajar erti tanggungjawab terhadap kata-kata dan tindakan.
“Kalaupun tidak kisah dengan hukuman dunia, moga ada sekelumit perasaan takut pada azab Allah yang amat pedih akibat fitnah,” katanya sambil menutup kenyataan dengan mesej, “See you in court!”
Artikel lain: Difitnah guna dana MARA, Asyaf Wajdi mahu saman Papagomo RM1 juta
Terdahulu, Papagomo didakwa memfitnah Asyraf menerusi satu siaran langsung video dengan mendakwa beliau menggunakan dana MARA untuk menaja sebuah majlis di Parlimen Grik, Perak baru-baru ini.
Sebagai respons kepada dakwaan tersebut, Asyraf telah memuat naik satu video balas kelmarin dan menyatakan akan memfailkan saman fitnah sebanyak RM1 juta bagi menangkis tuduhan yang dibuat terhadapnya.
Setakat ini, tiada kenyataan balas dikeluarkan oleh Papagomo berhubung tindakan saman itu.