'Tak sempat balas jasa, hanya sempat kebumikan dia' – Sepupu

'Tak sempat balas jasa, hanya sempat kebumikan dia' – Sepupu

am@hmetro.com.my

Muar: “Saya dah berniat nak bantu bagi membalas jasanya, tapi hari ini hanya dapat bantu untuk kebumikan dia,” kata Muhammad Adam Afif Shahidi, 18, susulan pemergian sepupunya, Muhammad Akmal Md Tukirin, 20, yang maut selepas motosikal dinaiki dirempuh kereta di hadapan UiTM Dungun, Terengganu malam semalam.

Menurutnya, Muhammad Akmal pernah membantu bapanya ketika terbabit dalam kemalangan bulan lalu dengan menghantar ke hospital serta urusan lain.

“Sikap mulia itu membuatkan kami sekeluarga terhutang budi dan mahu membalasnya namun tanpa diduga dapat berita menyedihkan. Hakikat yang sukar buat saya.

“Apa yang membuatkan saya sedih kerana kami membesar bersama-sama, walaupun usia kami berbeza, namun hubungan tetap rapat.

“Saya mengenalinya sebagai seorang ringan tulang, gemar membantu ibu bapanya serta keluarga kami. Suruhlah apa pun dia tidak pernah menolak tanpa mengira masa,” katanya ketika ditemui.

Muhammad Adam berkata, pada mulanya dia tidak percaya berita kematian sepupunya memandangkan mereka baru sahaja bertemu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top