Tak sempat makan nasi minyak, 'sangkut' di SJR kerana botol hijau

Tak sempat makan nasi minyak, 'sangkut' di SJR kerana botol hijau

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Hasrat dua lelaki menghadiri majlis perkahwinan di Kelantan tidak kesampaian apabila mereka ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, dekat Tanah Merah, semalam.

Individu berusia 20 dan 29 tahun itu ditahan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan pada jam 10.30 malam, susulan penemuan cecair kehijauan disyaki air ketum anggaran satu liter bernilai RM30 di dalam kereta dinaiki mereka.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ketika anggota melakukan tugasan di SJR Lalang Pepuyu, sebuah Perodua Aruz dinaiki dua lelaki dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, kereta itu diminta berhenti dan pemeriksaan menemukan beg warna hitam di tempat letak kaki penumpang belakang dan di dalamnya ada satu botol warna hijau yang berisi cecair kehijauan disyaki air ketum.

“Mereka ditahan dan barang kes serta kereta dengan nilai keseluruhan RM50,265 dibawa ke Komtak PGA Taman Bakti untuk proses dokumentasi.

“Kes dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah merah untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat, mereka mengatakan tujuan ke Kelantan untuk menghadiri majlis perkahwinan dan kereta dinaiki dipinjam daripada abang lelaki yang berusia 29 tahun.

“Lelaki berusia 29 tahun memaklumkan, air ketum itu milik adik iparnya berusia 20 tahun dan tidak mengetahui lelaki itu terbabit dalam kegiatan meminum ketum.

“Soal siasat, lelaki berusia 20 tahun mengaku air ketum itu miliknya dan mula terbabit dengan kegiatan meminum ketum sekitar awal tahun ini dengan mendapatkan bekalan daripada seorang lelaki berhampiran kawasan rumah di Kuala Lumpur,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top