Tak semua perlu RM100, Presiden MCA cadang wujud sistem pulangkan bantuan sara

Tak semua perlu RM100, Presiden MCA cadang wujud sistem pulangkan bantuan sara

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mencadangkan agar kerajaan menyediakan satu sistem khas untuk rakyat yang tidak mahu atau tidak memerlukan bantuan RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden MCA

Presiden MCA cadang mekanisme untuk rakyat yang tak mahu RM100

Memetik hantaran yang dikongsi di media sosial, Wee menyatakan sistem yang dicadangkan itu  bertujuan untuk membolehkan bantuan dipulangkan secara sukarela dan digunakan semula untuk membantu golongan lebih memerlukan serta meningkatkan sektor kesihatan dan pendidikan negara.

“Daripada belanja duit untuk langkah populis kepada golongan yang mungkin tidak memerlukan, bukankah lebih baik digunakan untuk bantu rakyat yang benar-benar memerlukan dan naik taraf sistem kesihatan serta pendidikan negara?

Presiden MCA akan jadi orang pertama yang pulangkan bantuan sara

Dalam pada itu, beliau juga secara sukarela memaklumkan akan menjadi orang pertama yang akan meyalurkan bantuan tersebut dan percaya bahawa Perdana Menteri, bekas Perdana Menteri, menteri kabinet serta ahli-ahli politik yang lain sanggup untuk melepaskan bantuan tersebut.

“Saya percaya PMX (Anwar), bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir, semua menteri kabinet dan ramai ahli parlimen serta Adun juga akan sanggup melepaskan bantuan Sara RM100 mereka demi rakyat.
“Saya orang pertama akan salurkan.
“Satu solusi win-win – rakyat boleh pilih, kerajaan pun menang,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan bantuan tunai RM100 secara sekali beri kepada semua warganegara berumur 18 tahun ke atas melalui MyKad.

Bantuan itu disalurkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan dijangka memberi manfaat kepada 22 juta rakyat dengan peruntukan RM2 bilion.

Duit terkumpul boleh digunakan untuk tujuan lain

Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam mencadangkan agar dana yang dipulangkan kelak dapat digunakan untuk dua keperluan utama – mengurangkan masa menunggu pesakit dan menambah peluang pendidikan untuk pelajar cemerlang.

“Duit terkumpul boleh digunakan untuk mempercepatkan rawatan elektif bagi 15,000 pesakit di hospital kerajaan yang kini perlu menunggu sehingga 21 bulan.
“(Kedua) salurkan dana tersebut untuk kurangkan masa menunggu pembedahan elektif di hospital kerajaan serta berikan biasiswa kepada pelajar lepasan SPM, STPM dan matrikulasi dengan PNGK (purata nilai gred kumulatif) cemerlang yang masih dinafikan peluang ke kolej matrikulasi atau universiti awam mengikuti kursus pilihan utama mereka,” ujarnya.

Artikel lain: PM Anwar tunaikan janji, ambil masa sebab baiki ekonomi negara dulu -Saifuddin Nasution

Wee percaya langkah ini bukan sahaja memberi lebih keadilan dalam agihan bantuan, tetapi juga membolehkan kerajaan menyusun semula keutamaan dengan lebih bijak demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Scroll to Top