Tak semua tohmahan yang dilemparkan benar – Pearly

Tak semua tohmahan yang dilemparkan benar – Pearly

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan menegaskan tidak semua kritikan yang dilemparkan kepada dirinya serta rakan gandingan, M Thinaah sepanjang mengharungi empat kejohanan dalam tempoh sebulan sebelum ini adalah benar.

Sebaliknya Pearly berkata, dia serta Thinaah hanya fokus kepada diri sendiri dan membuktikan keupayaan mereka menerusi prestasi di atas gelanggang.

“Bulan ini, kami mengharungi perjalanan ini dengan beban harapan dan kritikan sepanjang kejohanan. Tidak semua yang dikatakan mengenai kami itu benar, tetapi kami memilih untuk tidak membalas dengan kata-kata. Sebaliknya, kami membalas dengan kerja keras, ketabahan dan kebersamaan.

“Ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi kami tetap berdiri teguh, saling menyokong dan memberikan segala-galanya yang kami ada. Kami mungkin tidak menang kejuaraan, tetapi kami temui sesuatu yang lebih berharga iaitu kekuatan, keyakinan dan semangat.

“Terima kasih kepada yang sentiasa bersama kami. Kami akan terus membawa semangat ini dan jumpa anda semua di kejohanan seterusnya,” kata Pearly di Instagram miliknya.

Sebelum ini, kontrak Pearly-Thinaah bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dilaporkan berakhir Disember lalu dan proses rundingan lanjutan masih belum menemui kata putus.

Sementara itu, Pearly menyifatkan empat kejohanan yang diharunginya bersama Thinaah dalam tempoh sebulan termasuk muncul naib juara Terbuka Indonesia yang berakhir semalam, adalah cukup sukar.

Pearly berkata, keempat-empat kejohanan itu, bermula dengan Terbuka Thailand, Masters Malaysia, Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia benar-benar menguji ketahanan mental mereka berdua.

“Ia benar-benar bulan yang penuh dengan naik turun seperti ‘roller coaster’ buat kami berdua, menguji ketahanan mental, kekal tenang di tengah kekalutan dan terus mara walaupun kepenatan.

“Sejujurnya, kami tak mungkin dapat melaluinya tanpa pasukan sokongan yang luar biasa di belakang kami, yang sentiasa ada bersama kami di setiap langkah. Merekalah yang membantu kami pulih, kekal kuat dan terus berjuang di gelanggang. Kami takkan sampai sejauh ini tanpa mereka semua,” katanya.

Pearly-Thinaah muncul juara di Terbuka Thailand bulan lalu, sebelum mara sehingga ke separuh akhir Masters Malaysia dan kandas di suku akhir Terbuka Singapura.

Semalam, pasangan negara itu terlepas peluang untuk melakar sejarah muncul juara kejohanan bertaraf Super 1000 buat kali pertama selepas tewas 25-23, 12-21, 19-21 di tangan pasangan nombor satu dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning pada aksi final.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top