JOHOR BAHRU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada sebarang perbincangan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Istana Besar Johor pada Isnin.
Timbalan Perdana Menteri itu menjelaskan, perbincangan mengenai PRN Johor akan dibincangkan bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim dan Tunku Ismail.
“Saya bertemu tetapi tidak sentuh langsung mengenai perkara itu (PRN Johor).
“Dengan ini saya ingin mengumumkan PRN Johor tidak diadakan esok,” katanya sambil berseloroh.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Bangunan UMNO Johor di sini pada Isnin.

Mesyuarat MKT UMNO di Bangunan UMNO Johor pada Isnin.
Turut hadir, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Johari Ghani, Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Terdahulu, Ahmad Zahid turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang berkenan berangkat menghadiri sesi fotografi bersama kepimpinan UMNO sempena ulang tahun penubuhan parti itu.
Katanya, detik berkenaan amat signifikan memandangkan penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 turut berlangsung di Istana Besar Johor dan disusuli sesi fotografi bersejarah yang hampir sama.
“Ini bukan sekadar nostalgia tetapi sesuatu yang amat dihargai oleh kepimpinan UMNO di semua peringkat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan mesyuarat MKT yang berlangsung selama sejam setengah lebih tertumpu kepada isu nasional serta sambutan ulang tahun UMNO ke-80 yang berlangsung penuh bersejarah di Johor Bahru.
“Banyak isu nasional yang besar dibincangkan tetapi secara seriusnya saya ingin menyatakan bahawa ini hanyalah mesyuarat biasa,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan keberkesanan sistem pendaftaran ahli baharu secara atas talian.
Jelas beliau, seramai 16,867 ahli baharu dalam dicatatkan dalam tempoh 20 hari selepas dilancarkan sistem pendaftaran keahlian dalam talian UMNO dengan 71 peratus daripadanya terdiri daripada golongan muda.



