Tak serik lebam-lebam

Tak serik lebam-lebam

am@hmetro.com.my

WALAUPUN sudah beraksi dalam beberapa filem, watak Diana dalam filem genre aksi, Raya Emas: Salako Sacred Treasure memberi cabaran tersendiri buat Ahirine Ahirudin.

Ahirine, 29, yang sudah empat tahun bergelar pelakon berkata, ia adalah filem keenam lakonannya, tapi filem kedua selepas Tebus yang menjalani penggambaran di Sarawak.

Ahirine berkata, pada mulanya dia bimbang untuk menerima tawaran berlakon filem arahan Chan Wai Cheang itu kerana semua pelakon berasal dari Sarawak.

“Saya takut jadi isu dari segi bahasa kerana tidak boleh cakap dialek Sarawak. Tapi, bila baca skrip, watak Diana berasal dari Semenanjung dan dia tidak tahu ada darah Salako yang juga etnik dari Sarawak.

“Bila pengarah beritahu, saya tidak perlu bercakap dalam dialek Sarawak, baru saya terima tawaran itu.

“Saya tidak mahu lakonan nampak tidak ‘natural’ (asli) kecuali saya ada masa untuk belajar dialek itu sebelum penggambaran,” katanya.

Ditanya cabaran berlakon dalam filem itu, Ahirine berkata, watak Diana sangat feminin, lemah lembut dan tidak lasak serta berbeza dari lakonannya sebelum ini.

“Kisah bermula bila Diana pergi bercuti dengan kawan-kawannya di Sarawak dan dia juga tidak tahu dirinya adalah penjaga raya emas yang melindungi satu kampung di sana.

“Diana juga terpanggil untuk pergi ke sana dan selamatkan kampung itu kerana dia seorang saja yang tahu di mana bunga raya emas itu berada,” katanya.

Berkongsi mengenai filem itu, Ahirine berkata, penggambaran filem yang menggabungkan elemen pengembaraan, mistik dan keindahan alam di Bumi Kenyalang itu berlangsung pada Februari tahun lalu dan membabitkan lokasi sebanyak 80 peratus di Lundu, Sarawak.

“Saya menimba pengalaman menarik berlakon dalam filem ini yang memaparkan budaya masyarakat Salako dan tempat menarik sekitar Sarawak.

“Diana juga ada kebolehan meramal dan ada babak saya baca mentera dalam filem ini. Penggambaran juga berlangsung di rumah panjang Salako dan pelakon tambahan juga dari rumah panjang itu sendiri.

“Walaupun baru kali pertama bekerja dengan pengarah dan barisan pelakon dari Sarawak tapi kami mudah mendapat keserasian itu di lokasi,” katanya.

Mengulas babak yang sukar dilupakan, Ahirine berkata, pipi kirinya lebam ketika menjayakan babak kena tumbuk bersama pelakon lagak ngeri.

“Pelakon lagak ngeri itu tidak sengaja menumbuk muka saya dengan kuat ketika menjayakan babak penjahat mahu rampas bunga raya emas daripada Diana yang juga penjaganya.

“Bila babak itu selesai, saya terus menangis kerana menahan sakit. Pelakon lagak ngeri itu pula ahli bina badan dan tumbukannya juga padu, tapi dia turut minta maaf pada saya.

“Maklumlah, masa penggambaran filem ini pada Februari tahun lalu, saya baru lepas buat pembedahan sinus. Jadi, bila nak buat semula babak itu, saya takut pula,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai pelakon, Ahirine menganggap babak lebam-lebam di tubuh adalah risiko yang perlu dihadapi.

“Saya tidak serik untuk teruskan lakonan kerana lepas letak ais di pipi saya rasa okey.

“Kalau sukan Muay Thai, kita tumbuk dengan memakai sarung tangan, tapi kali ini kena buku lima yang keras itu, memang sakit.

“Saya harap penonton beri sokongan pada filem ini yang mula ditayangkan mulai hari ini,” katanya.

Filem terbitan Filmforce Studio dan Tinytune ini menampilkan barisan pelakon seperti Winson Voon, Dunstun Luther Junior, Melissa Francis, Marc Benjamin, Wahab Daszz Hairaf, Willy Alfred Ting dan Daniel Ackeem.

Dalam perkembangan lain, Ahirine juga sibuk buat persiapan untuk projek filem terbaharunya yang juga genre seram ‘supernatural’ arahan Zahir Omar dijangka memulakan penggambaran selepas Aidilfitri.

“Saya juga tidak sabar untuk berlakon dalam filem ini kerana ia ada babak aksi dan membabitkan kerjasama dengan pasukan lagak ngeri dan aksi terkenal dari Indonesia,” katanya.

Sambut Aidilfitri secara sederhana di Kuala Lumpur

Sudah menjadi tradisi, Ahirine menyambut Aidilfitri bersama keluarganya di Kuala Lumpur secara sederhana setiap tahun.

Ahirine berkata, dia juga hanya memperuntukkan sepasang baju raya dan memakai baju raya lama.

“Saya memang tidak suka habiskan duit untuk beli baju raya ratusan ringgit kerana tidak suka membazir. Sebenarnya, saya banyak keluar duit untuk makanan dan pemulihan diri seperti pergi berurut, bersenam di gimnasium dan kelas latihan Muay Thai,” katanya.

Bercerita juadah raya, Ahirine berkata, dia selalunya akan membantu ibu dan neneknya memasak kuah kacang pedas, ketupat dan nasi impit pada malam raya.

“Pada pagi raya pula kami akan beli lemang untuk dimakan bersama rendang dan serunding kelapa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top