Tak sukar bermanja dengan haiwan eksotik jika ada ilmu haiwan itu

Tak sukar bermanja dengan haiwan eksotik jika ada ilmu haiwan itu

asyikin.mat@hmetro.com.my

Penampilan dan tingkah laku menarik sesetengah haiwan eksotik membuatkan ramai tertarik untuk memeliharanya.

Namun, penjagaan haiwan eksotik memerlukan ilmu khusus yang sering diabaikan pemilik.

Rencana ini berkongsi beberapa teknik penjagaan haiwan eksotik yang jarang diketahui.

1. Tekanan senyap sukar dikesan

Haiwan eksotik mempunyai naluri untuk menyembunyikan kesakitan bagi mengelakkan diri daripada dilihat lemah.

Ini menyebabkan ramai pemilik menyangka haiwan peliharaan mereka berada dalam keadaan baik.

Sedangkan sebenarnya haiwan ini sedang mengalami tekanan atau masalah kesihatan dalaman.

Pemilik sering terlepas pandang dengan perubahan kecil haiwan kesayangan terhadap persekitaran.

2. Gegaran persekitaran beri kesan jangka panjang

Haiwan eksotik sangat sensitif terhadap gegaran berulang seperti bunyi mesin basuh, televisyen atau pergerakan berat berhampiran habitat.

Gegaran ini boleh mengganggu sistem saraf dan menyebabkan tekanan berpanjangan walaupun bunyi tidak kuat.

Keadaan ini boleh menjejaskan selera makan dan daya tahan tubuh haiwan dalam jangka panjang.

3. Bau bahan kimia pada tangan penjaga

Bau sabun, losyen atau bahan pencuci tangan yang digunakan pemilik boleh mengganggu deria bau haiwan eksotik.

Sesetengah spesies akan menjadi pasif, agresif atau enggan makan selepas disentuh.

Oleh itu, tangan perlu dibersihkan menggunakan air sahaja atau produk tanpa bau sebelum mengendalikan haiwan.

4. Cahaya lampu rumah mengganggu kitaran biologi

Lampu diod pemancar cahaya (LED) atau lampu rumah yang menyala hingga lewat malam boleh mengganggu kitaran semula jadi siang dan malam haiwan eksotik.

Gangguan ini memberi kesan kepada hormon, corak tidur dan proses penghadaman.

Haiwan mungkin menjadi aktif pada waktu tidak sepatutnya atau menunjukkan tanda keletihan berpanjangan.

5. Pemakanan berlebihan lebih berisiko

Ramai pemilik beranggapan memberi makanan dengan kerap kepada haiwan eksotik adalah tanda kasih sayang.

Sedangkan haiwan eksotik secara semula jadi mampu bertahan tanpa makanan untuk tempoh tertentu.

Makanan berlebihan boleh menyebabkan pengumpulan lemak dalam badan haiwan itu dan meningkatkan risiko kematian mengejut tanpa gejala awal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top