mahaizura@mediaprima.com.my
Setiap kali musim perayaan, tradisi rumah terbuka menjadi antara momen paling dinanti kerana ia membuka ruang kepada pertemuan, kemaafan dan mengeratkan silaturahim.
Namun, di sebalik kemeriahan itu, menjadi tuan rumah bukan tugas mudah kerana ia menuntut perancangan rapi, pengurusan tetamu serta penyediaan juadah dalam jumlah besar.
Tanpa persediaan betul, rumah terbuka boleh bertukar menjadi situasi kelam-kabut, membazir dan memenatkan.
Beberapa tip dikongsikan ini boleh membantu memastikan majlis berjalan lancar, selesa dan tetap menyeronokkan:
1. Tetapkan konsep dan bajet awal
Sama ada kecil-kecilan atau besar-besaran, tentukan skala majlis kerana bajet jelas bantu elak berbelanja berlebihan.
2. Pilih waktu yang sesuai
Elak bertembung dengan majlis lain atau waktu terlalu lewat, contoh tengah hari hingga petang lebih santai.
3. Senaraikan menu praktikal
Tidak perlu terlalu banyak jenis makanan. Fokus pada menu yang mudah dihidang dan digemari ramai.
4. Sediakan makanan secukupnya bukan berlebihan
Anggarkan jumlah tetamu supaya tidak berlaku pembaziran. Lebih baik cukup daripada melimpah tetapi dibuang.
5. Susun ruang rumah dengan selesa
Pastikan laluan keluar masuk lancar. Sediakan tempat duduk dan ruang makan mencukupi.
6. Guna konsep ‘self-service’
Lebih praktikal dan kurangkan beban tuan rumah. Tetamu boleh ambil makanan sendiri dengan teratur.
7. Sediakan tong sampah mencukupi
Letak di beberapa lokasi strategik bagi memudahkan tetamu buang sampah tanpa berselerak.
8. Utamakan keselamatan
Pastikan wayar, dapur, lilin atau peralatan panas berada di tempat selamat, terutama jika ada kanak-kanak.
9. Minta bantuan ahli keluarga
Jangan buat semua seorang diri, sebaliknya agihkan tugas seperti ada jaga makanan dan sambut tetamu.
10. Sediakan ‘backup plan’
Contoh, makanan tambahan atau air minuman tambahan. Elak panik jika tetamu datang lebih ramai daripada jangkaan.
11. Jaga keselesaan tetamu
Sambut dengan senyuman, tegur sapa walaupun sibuk. Itu paling diingati bukan semata-mata makanan.
12. Simpan lebihan makanan dengan baik.
Kurangkan pembaziran selepas majlis. Bahagikan kepada tetamu atau simpan dalam bekas sesuai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




