Tak tolak rezeki

Tak tolak rezeki

norhayati_nordin@hmetro.com.my

SEBUT saja nama Syamel, pasti tidak lengkap tanpa isterinya, Ernie Zakri dan begitu juga sebaliknya. Apapun, yang pasti pasangan selebriti ini saling menyokong sesama sendiri dalam kerjaya nyanyian mereka.

Buktinya, Ernie hadir pada pelancaran lagu Hamba Cinta nyanyian terbaharu Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly terbitan Warner Music Malaysia (Warner), baru-baru ini.

Malah, lebih menarik perhatian lagi apabila pasangan selebriti dikenali ramai ini dilengkapkan dengan kehadiran anak sulung mereka, Nur Khawla Soleha, 2, yang peramah dan petah bercakap.

Ditanya mengenai anaknya yang mesra disapa Khawla itu semakin diminati netizen di media sosial dengan hantaran video memaparkan aksi lucunya, Syamel berkata, dia hanya membuat perkongsian yang perlu saja.

“Kalau ada video Khawla yang saya kongsi di Instagram (IG) itu, sekadar suka-suka dan menjadi kenangan istimewa kami apabila dia (Khawla) sudah besar nanti. Seronok tengok gelagat Khawla yang ceria.

“Dia juga bersahaja di hadapan kamera dan saya tengok pun dia suka dan ‘happy’ (gembira). Malah, kalau itu minat dia nanti (ingin menceburi seni), saya tidak akan halang. Saya akan beri dia sokongan.

“Sekarang pun dah boleh nampak juga yang Khawla suka menyanyi, menari dan sebagainya yang berkaitan seni. Jadi, kalau itu dah minat dia (seni), saya dan Ernie okay saja,” katanya mengakui tidak mahu ‘sellfish’ (pentingkan diri).

Berbicara lanjut mengenai personaliti si kecil kesayangannya itu, Syamel berkata, Khawla memang sukakan perhatian dan dia juga cepat mesra dengan orang, terutama mereka yang ingin bergambar bersamanya.

“Dia (Khawla) akan buat ‘pose’ gaya sendiri mengikut keselesaan dirinya. Memang kami tak ajar pun dan syukur Alhamdulillah, mungkin ia bakat semula jadi yang Allah dah kurniakan buat Khawla.

“Selain itu, kami juga membesarkan Khawla dengan memastikan dia mendapat kasih sayang yang banyak daripada keluarga saya dan juga famili Ernie. Alhamdulillah, Khawla dapat perhatian yang cukup,” katanya lagi.

Ditanya juga mengenai kehadiran anak kedua apabila Ernie kini didakwa hamil, Syamel berkata, doakan yang baik-baik dan mereka juga tidak menolak rezeki sekiranya dikurniakan zuriat lagi.

“Cuma buat masa ini, kami berdua sibuk dengan karier nyanyian dan mahu fokus pada kerja dahulu. Tapi, apa saja rezeki yang Allah sudah tetapkan itu, kami terima dengan rasa syukur,” katanya.

Menurut Syamel, dia juga tumpang gembira dengan kejayaan wanita dicintainya itu apabila lagu Masing-Masing nyanyian Ernie yang dicipta penyanyi dan komposer Indonesia, Ade Govinda menerima Anugerah Platinum.

Terdahulu, pasangan Syamel dan Ernie mendirikan rumah tangga pada 25 Mac 2021 selepas menjalin hubungan rapat hampir empat tahun ketika menyertai program Duo Star terbitan Astro sejak 2017.

Lagu Hamba Cinta istimewa

Sembilan tahun aktif dalam karier nyanyian sejak 2015 selepas muncul naib juara dalam program Akademi Fantasia (AF) pada tahun itu, Syamel berjaya memahat nama dan bakatnya yang diterima baik peminat seni suara.

Hingga kini, banyak juga lagu nyanyian Syamel pernah ‘hits’ di radio sekali gus memasuki carta lagu mingguan dan ada juga beberapa lagu yang membawanya bertanding di pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL).

Antara lagu solo popular yang menaikkan nama Syamel ialah Hidup Dalam Mati, Lebih Sempurna, Biar Cinta, Kau Pun Sama, Bila Kau Tiada, Bahagia Milik Kita, termasuk lagu duet seperti Aku Cinta, Takkan Terlerai dan Goodbye Hello.

Berbicara mengenai Hamba Cinta hasil ciptaan tiga komposer iaitu Yusuff Khan, Adam Armi dan Adly Kiddy, Syamel berkata ilham lagu itu muncul ketika dia bertemu dengan peminat semasa bersenam di sekitar Bangsar.

“Idea lagu ini daripada peminat saya sebenarnya yang sudi berkongsi ilham mereka dan berbanyak terima kasih diucapkan. Ini kerana, lagu Hamba Cinta juga mempunyai bunyian berbeza.

“Selain itu, lagu ini ada kelainan tersendiri dari segi melodi dan susunan muziknya yang belum pernah lagi terhasil dalam karya lagu-lagu saya yang terdahulu. Jadi, itulah sebabnya ia sangat istimewa,” katanya.

Mengakui sebagai penyanyi, dia juga mahukan kelainan dalam ‘repertoire’ sendiri, Syamel berkata dia turut seronok apabila Hamba Cinta adalah lagu berentak pop jazz yang baharu pertama kali cuba diketengahkannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top