TAKAFUL Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan tahunan yang kukuh dan konsisten sejak penubuhannya 40 tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, September lalu syarikat itu disenarai lima teratas bagi 20 saham terbaik mengikut pulangan dalam tempoh 26 tahun oleh penerbitan The Edge Malaysia.
Menurutnya, syarikat juga telah mencatat hasil jualan melebihi RM3 bilion sejak tiga tahun lalu serta keuntungan sebelum zakat dan cukai melebihi RM500 juta.
“Sepanjang tempoh empat dekad ini, Takaful Malaysia telah menempa pelbagai kejayaan dan mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
” Walaupun menggalas tugas mencabar dalam pasaran sengit, saya berbangga kerana warga pengurusan dan tenaga kerja terus menggembleng tenaga dan bersatu hati untuk memastikan jenama Takaful Malaysia kekal relevan dan menjadi pilihan bagi penyelesaian perlindungan patuh syariah, ” katanya pada Sambutan Ulang Tahun ke-40 Takaful Malaysia di The Majestic Hotel di sini pada Jumaat.
Majlis mengangkat tema ‘Legasi yang Mampan’ itu dirasmikan oleh Dr Muhamad Razak Idris merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Muhamad Razak (dua dari kanan) menyampaikan anugerah pencapaian seumur hidup kepada Mohd Fadzli ( dua dari kiri) pada Sambutan Ulang Tahun ke-40 Takaful Malaysia di The Majestic Hotel di sini pada Jumaat.
Tema itu mencerminkan kepentingan kesinambungan dalam memastikan warisan ditinggalkan terus memberi impak positif, relevan, dan mencipta nilai yang berpanjangan.
Ia menggambarkan asas kepada kelangsungan Takaful Malaysia sebagai pengendali takaful terkemuka di negara ini, bukan hanya pada masa kini tetapi juga di masa hadapan.
Ia juga selaras dengan prinsip kelestarian yang menjadi tonggak kepada daya saing jangka panjang Takaful Malaysia dalam industri insurans dan takaful tanah air.
Nor Azman berkata, syarikat komited menumpukan kepada pelaburan dalam teknologi dan inovasi digital untuk memastikan kemampanan masa depan perniagaan terus kekal berdaya saing dalam industri insurans dan takaful seiring dengan kehendak pasaran semasa.
Ujarnya, Takaful Malaysia turut akan melaksanakan program kepimpinan belia iaitu Takaful 100 Youth Leadership pada tahun depan yang merupakan sebahagian inisiatif memastikan kelangsungan masa depan negara.
“Program ini bertujuan melahirkan bakat muda dalam bidang aktuari, kewangan, perakaunan, IT dan bidang lain.
“Takaful Malaysia merancang untuk bekerjasama dengan universiti tempatan yang menawarkan ijazah dalam pengajian takaful dan mengenal pasti mahasiswa berpotensi untuk menyertai program ini,” katanya.
Pada majlis sama turut disampaikan anugerah pencapaian seumur hidup kepada Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia, Datuk Mohd Fadzli Yusof.
Pengiktirafan itu sebagai menghargai jasa kepimpinan dan peranan penting beliau dalam
membangunkan syarikat sejak ditubuhkan pada 1984.