Takiyuddin diberi tempoh hingga esok tarik balik kenyataan 'munafik'

Takiyuddin diberi tempoh hingga esok tarik balik kenyataan 'munafik'

nuratikah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, mengarahkan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menarik balik kenyataan kontroversinya yang menggunakan perkataan ‘munafik’ selewat-lewatnya esok.

Johari berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau meneliti penyata rasmi persidangan (Hansard) dan Takiyuddin boleh menarik balik kenyataan berkenaan sama ada di dalam Dewan Rakyat atau melalui surat bertulis kepadanya.

“Saya sudah membaca Hansard dan ini keputusan saya, saya minta Kota Bharu menarik balik perkataan yang diucapkannya selewat-lewatnya esok,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan peraturan mesyuarat berhubung penggunaan perkataan ‘munafik’ oleh Takiyuddin ketika membahaskan Belanjawan 2027.

Takiyuddin sebelum itu memetik hadis mengenai ciri-ciri orang munafik dan mengaitkannya dengan istilah ‘waad’ yang digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan berkenaan baru-baru ini.

Keputusan Johari itu mencetuskan bantahan beberapa Ahli Parlimen pembangkang, termasuk Datuk Awang Hashim (PAS-Pendang) dan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar).

Mohd Misbahul Munir berkata, beliau mempunyai salinan Hansard dan mahu menjelaskan konteks kenyataan berkenaan, manakala Awang berhujah hadis yang dipetik Takiyuddin bersifat umum serta tidak ditujukan kepada mana-mana individu.

Bagaimanapun, Johari enggan membenarkan perbahasan lanjut berhubung perkara itu dan menegaskan beliau tidak mahu isu berkenaan menjejaskan perjalanan persidangan Dewan Rakyat.

“Saya tidak mahu andaian, saya mahu fakta. Jika tiada fakta, duduk,” katanya.

Beliau turut menegaskan, sebarang bantahan perlu dikemukakan mengikut proses dan saluran Parlimen yang sewajarnya, bukannya terus diperdebatkan di dalam Dewan.

“Jangan cabar keputusan yang sudah saya buat.

“Ramai lagi yang mahu bercakap, saya mahu mendengar ucapan mereka,” katanya sebelum membenarkan persidangan diteruskan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top