Pelakon sensasi, Fattah Amin menyangkal tuduhan segelintir pihak yang mendakwa dia tidak sempat bertemu dengan puteri kesayangannya, Nur Fatima Aisya, 4, kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja.
Menurut pelakon drama bersiri Lelaki Melayu Terakhir itu, perkongsiannya di media sosial ketika bertemu Fatima sebelum ini bukanlah bertujuan untuk mencuri perhatian.
“Ada pihak yang kata saya terlalu sibuk sampai tak sempat jumpa anak. Saya terkilan dengan tuduhan seperti itu.
“Takkanlah setiap kali saya jumpa anak, saya perlu muat naik gambar atau video semata-mata untuk tunjuk kepada semua orang. Buat apa, kan?
“Cuma ada masanya saya rasa nak kongsi, saya akan muat naik. Saya kongsi bukan sebab nak buat ‘content’. Tapi ada pula yang cakap bila dah jumpa anak, nak tunjuk dekat orang. Macam-macam persepsi,” katanya.
Fattah berkata demikian ketika ditemui pada karnival beli belah Celebfest Ramadan yang berlangsung di Suntec, Singapura.
Tambah pelantun lagu Wanita Terakhir itu, dia berharap warganet tidak lagi menimbulkan cakap-cakap yang tidak berasas mengenai dirinya dan Fatima.
Menegaskan yang dia masih bertemu dengan anak tunggalnya, Fattah turut mendedahkan yang bekas isterinya, aktres Nur Fazura memberikan kerjasama baik.
“Saya sendiri pening kepala dengan dakwaan-dakwaan ini. Bila saya kongsi, orang kata nak buat konten. Bila tak kongsi, orang kata saya tak jumpa anak.
“Jadi, saya nak perbetulkan keadaan yang saya ada berjumpa anak saya beberapa kali, cuma ada masanya kita faham dia tak sihat dan mungkin tak mahu keluar.
“Jadi tolong jangan salahkan sesiapa kerana perkongsian saya sebelum ini nak beritahu saya ada berjumpa anak saya.
“Pihak Fazura pun memberi kerjasama yang baik. Tak ada sesiapa yang salah dalam hal ini,” katanya.
Dalam pada itu, ketika disoal mengenai perkongsiannya yang mendakwa sudah lama tidak bertemu Fatima serta luahan hati yang risau apabila anaknya sedang sakit, Fattah menjelaskan dia perlu memahami segala situasi yang berlaku.
“Saya tak dapat jumpa dia sebab keadaan dia tidak sihat ketika ini. Sebagai bapa, saya perlu faham keadaan dan perasaan dia, jadi tak boleh nak paksa dia untuk jumpa saya.
“Macam yang anda sendiri tengok keadaan dia tak sihat dan tak mahu berjumpa. Perkongsian saya itu hanya luahan hati seorang bapa saja,” katanya.
Dalam perkembangan lain, drama lakonan Fattah, Keluarga Itu sedang hangat bersiaran setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9 malam di TV3.
Selain Fattah, Keluarga Itu turut membariskan lakonan mantap Datuk Rosyam Nor, Datin Paduka Umie Aida, Izara Aishah, Amir Ahnaf, Muaz Zabir, Puteri Balqis dan ramai lagi.
Saksikan episod baharu drama bersiri ini 24 jam lebih awal hanya di Tonton.