Takraw regu lelaki negara cipta detik manis di Thailand

Takraw regu lelaki negara cipta detik manis di Thailand

saifulaffendy@hmetro.com.my

Bangkok: “Final tetap final. Pingat emas tetap pingat emas.”

Demikian pandangan kapten negara, Farhan Adam selepas skuad sepak takraw lelaki negara menutup kempen kontinjen Malaysia di Sukan Sea Thailand dengan meraih pingat emas acara regu, hari ini Stadium Gimnasium Nakhon Pathom.

Skuad negara di bawah bimbingan Ahmad Jais Baharun mempamer aksi bertenaga menumbangkan Vietnam 15-9, 15-9 pada aksi final.

Vietnam sebelum itu melakar kejutan apabila menewaskan Thailand 15-13, 6-15, 15-9 di separuh akhir, sekali gus menafikan final impian antara Malaysia dan Thailand.

Skuad negara pula tidak berdepan masalah mengatasi Indonesia 15-7, 15-10 di separuh akhir.

“Acara ini bukannya seperti sebelum ini di mana Thailand tidak mengambil bahagian. Kali ini Thailand memang ada dalam acara regu, tapi mereka yang kalah di separuh akhir.

“Jadi kami tetap nak buktikan kami menang di final menentang Vietnam, sekali gus itu menolak kata-kata orang yang mengatakan final tak menarik.

“Kita kena terima dan akui, Vietnam satu pasukan yang sangat kuat sehingga mampu mengalahkan Thailand,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Farhan mengakui kejayaan dicapai di bumi Thailand amat bermakna, apatah lagi selepas sekian lama Malaysia tidak mendominasi pentas Sukan SEA.

“Syukur Alhamdulillah, untuk Sukan SEA tahun ini, ia adalah pencapaian terbaik untuk saya secara peribadi dan pasukan sepak takraw negara.

“Sudah sekian lama kita tak dapat pencapaian sebegini. Jadi tahun ini, dua pingat emas adalah satu yang sangat membanggakan. Bukan sahaja untuk kami tapi untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Pingat emas yang dimenangi hari ini adalah yang ke-57 diraih kontinjen negara pada temasya edisi ke-33 kali ini yang turut menyaksikan Malaysia memungut 57 perak dan 117 gangsa untuk keseluruhan 231 pingat, sekali gus melepasi sasaran 200 pingat yang ditetapkan sebelum ini.

Regu dibarisi Syahir Mohd Rosdi (tekong), Azlan Alias (perejam) dan Farhan (pengumpan) menunjukkan keyakinan tinggi apabila tidak berdepan masalah untuk memenangi set pertama.

Pada awal set kedua, Haziq Hairul Nizam masuk menggantikan Syahir dan skuad negara terus konsisten selepas itu untuk melakar kemenangan mutlak.

Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara regu lelaki adalah ketika menjadi tuan rumah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur yang menyaksikan skuad negara menewaskan Filipina di pentas final.

Skuad negara turut meraih emas pada edisi sebelum itu di Singapura, ketika kedua-dua edisi tiada penyertaan Thailand kerana peraturan had penyertaan.

Thailand selaku juara berturut-turut tiga edisi sejak 2019 di Filipina, terus berdepan mimpi ngeri selepas regu utama mereka tewas kepada Vietnam 13-15, 15-6, 9-15, sekali gus sekadar berpuas hati dengan gangsa, sekali gus berkongsi pingat dengan Indonesia.

Sebelum itu, Thailand juga dimalukan oleh Malaysia, yang mencipta detik manis menamatkan kemarau 34 tahun dengan meraih emas acara regu berpasukan lelaki.

Anak buah Ahmad Jais ketika itu meraih kemenangan 2-1, meninggalkan Thailand terkedu tumbang di halaman sendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top